Kredit: Daily Mail

(Video) Enggan Jual Tanah Kepada Pemaju, Kini Peladang ‘Selamber’ Menuai Dikelilingi ‘Apartment’ Di Bandar

Amira

Kalau di Jepun ada lebuhraya di dalam bangunan, di Poland pula, ada ladang dikelilingi rumah kediaman pangsapuri.

Lapor Daily Mail, semuanya dipercayai gara-gara pemilik ladang yang enggan menjual tanah itu kepada pihak pemaju yang ingin membina apartment di situ.

Menerusi rakaman dikongsikan, Michal Myslowski dilihat sedang menuai hasil pertaniannya yang terletak hanya beberapa meter daripada bangunan berhampiran.

Katanya, para penduduk di situ tidak menganggap kewujudan ladang itu sebagai satu masalah, sebaliknya memuji pemandangan di sana.

“Mereka baik-baik sahaja. Mereka faham kerja saya. Kanak-kanak pun sangat gembira. Tak pernah ada masalah dengannya,” kata lelaki itu seperti dipetik Daily Mail.

Jelas Miichal, dia melakukan kerja-kerja agrikultur tersebut beberapa kali setahun. Ladang lelaki itu juga dianggap sebagai pengganti pemandangan kampung di tengah bandar.

“Kita ada pengganti untuk kampung di bandar. Sebagai penduduk, ia tidak mengganggu kami pun. Malah, pemandangan juga lebih baik berbanding melihat blok,” kata salah seorang residen, Katarzyna.

Hal itu diakui oleh warga maya yang memuji pemandangan tersebut dan menyokong tindakan peladang berkenaan.

“Lebih baik daripada dikelilingi konkrit dan memberi tekanan,” tulis salah seorang mereka seperti dilapor Daily Mail.

Sumber: Daily Mail