Memancing merupakan salah satu aktiviti yang sangat popular terutama bagi golongan lelaki. Ada yang memancing untuk suka-suka dan menghilangkan bosan di waktu lapang dan ada juga sesetengah orang yang memancing untuk mencari rezeki.
Selain pemilihan lokasi yang sesuai, setiap pemancing juga mempunyai teknik yang tersendiri untuk memancing ikan yang diinginkan. Kalau bernasib baik, maka dapatlah ikan yang besar dan segar.
Pun begitu, jika ikan sudah berada dalam genggaman sekalipun, ia akan terlepas jua kalau dah bukan rezeki.
Sama seperti video tular yang dimuat naik oleh Lanz Lanzz di group Facebook Geng Pancing Malaysia ini yang menyaksikan ikan yang dipancing olehnya telah terlepas semula ke dalam sungai.
“Dugaan pemancing tepi sungai sungguh mencabar,” katanya menerusi kapsyen di video itu.
Menerusi video itu, Lanz dan rakannya pada awalnya hanya ingin menunjukkan ikan yang berjaya dipancing oleh mereka. Tetapi nasib mereka tidak baik apabila ikan tersebut telah melompat keluar ketika bekas dibuka.
Lebih menyedihkan, ikan itu melompat ke dalam sungai dan tidak dapat ditangkap semula.
Ketika dihubungi oleh SK, Lanz berkata kejadian itu berlaku ketika mereka memancing di Sungai Liang, Raub, Pahang.
Menurutnya lagi, ikan yang terlepas itu adalah spesies ikan Kejor atau Tengas.
Sehingga kini, video itu telah menjadi tular di Facebook dan dibanjiri dengan komen-komen netizen yang turut terhibur melihat kejadian itu.




Sumber: Lanz Lanzz