Seorang wanita ditahan selepas dipercayai membakar motosikal milik bekas suaminya di sebuah lot parkir di Bangkok pada Isnin.
Menurut National Thailand, tindakan wanita itu telah menyebabkan lima lagi motosikal lain terbakar di lokasi kejadian.
Hasil rakaman CCTV mendapati kelibat wanita itu menuang minyak di atas sebuah motosikal dan menyalakan api sebelum melarikan diri menaiki sebuah teksi.
Api kemudiannya merebak kepada lima lagi motosikal yang diletakkan berhampiran.
Tambah portal itu, pemilik motosikal berkenaan mengesyaki pelaku merupakan bekas isterinya sendiri yang telah berpisah tiga bulan lalu.
Susulan itu, pihak polis telah menahan seorang wanita berusia 36 tahun di sebuah bilik sewa di daerah sama.
Suspek dikatakan telah bersembunyi di dalam almari miliknya ketika ditemui pihak polis.
Lapor portal berkenaan, wanita itu telah mengaku bertanggungjawab atas tindakan tersebut, mendakwa dirinya berbuat demikian kerana bekas suaminya telah memungkiri janji untuk menjual motosikal tersebut bagi menjelaskan hutang saudaranya.
Wanita itu juga dilaporkan mengaku telah berniat untuk menyerah diri kepada pihak polis. Lantaran itu, dia telah didakwa atas tuduhan merosakkan harta benda orang lain.
Sumber: National Thailand, ข่าวช่อง8