Sejak malam semalam, kecoh di media sosial mengenai berita yang melibatkan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita terperosok di dalam satu lubang yang dikatakan tiba-tiba mendap.
Kejadian yang berlaku di Jalan Maharajalela sekitar jam 11.35 malam semalam adalah melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kuning yang dipandu sendirian oleh seorang wanita.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, siasatan awal mendapati berlaku kejadian tanah mendap sekitar tiga meter persegi keluasannya di Jalan Maharajalela menghala ke Jalan Loke Yew.
Walau bagaimanapun, pemandu wanita berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan sejurus kemalangan itu. Kerja-kerja membaik pulih keadaan laluan yang mendap itu telah dijalankan seawal pagi ini oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menerusi perkongsian di laman Twitter, seorang warganet menasihati orang ramai untuk tidak melalui laluan tersebut ekoran kejadian itu.
Menerusi ciapan yang sama, seorang lagi warganet turut berkongsikan rakaman kereta tersebut dinaikan oleh sebuah kren.
Sumber: Sinar Harian / Twitter