Sebuah loji bahan kimia di Illnois dilaporkan meletup dan terbakar pada pagi Isnin.
Lapor The Sun, kejadian pada pukul 7 pagi waktu tempatan itu menyebabkan api menjulang manakala udara dipenuhi asap hitam yang boleh dilihat sejauh 25 batu (sekitar 40 km).
Kata Sheriff Daerah Ogle, asap memenuhi satu pertiga ruang udara di daerah itu sekitar pukul 11 pagi serta dapat dilihat dari angkasa.
Seorang anggota penyelamat dilaporkan tercedera dalam tragedi itu. Bagaimanapun, seramai 70 staf sempat menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan, tambah The Sun.
Ketua pasukan bomba, Kirk Wilson berkata kebakaran melibatkan unsur minyak itu mungkin mengambil masa beberapa hari untuk terpadam sepenuhnya.
Bomba dilaporkan tidak menggunakan air untuk memadam kebakaran bagi mengelakkan bahan kimia mengalir ke sungai berhampiran.
Jelas Wilson, kejadian itu tidak memberi ancaman kepada perumahan terdekat.
Pun begitu, penduduk setempat mendakwa terdengar bunyi letupan kecil selepas api semakin marak, tulis The Sun.
Menurut wakil Lubrizol Corporation’s Chemtool Facility, punca letupan masih belum dapat dikenalpasti.
“Sekitar 7 pagi hari ini (semalam), pasukan keselamatan telah turun ke Lubrizol Corporation’s Chemtool Facility di Rockton, Illnois.
“Kami telah memastikan semua tapak selamat. Keprihatinan kita sekarang ialah keselamatan semua pekerja dan komuniti sekitar,” ujarnya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa telah meminta penduduk mengosongkan rumah yang berada dalam radius satu kilometer dari tapak, katanya.
“Kami akan berkongsi lebih maklumat apabila diketahui nanti.”
Kredit: The SunSumber: The Sun UK