(Video) Detik-detik Puting Beliung ‘Serang’ Bandar Hebei Di China, Dua Penduduk Dilapor Terkorban

Sofea

Sekurang-kurangnya dua orang penduduk kampung dilaporkan telah terkorban dalam kejadian angin puting beliung yang melanda daerah Qingyuan di Baoding, Wilayah Hebei, China pada petang Rabu.

Menurut China Daily, puting beliung melanda kampung Donglyu sekitar jam 5 petang disusuli oleh ribut dan hujan batu selama lebih kurang 30 minit.

Kerajaan tempatan telah menghantar pasukan penyelamat termasuk anggota bomba dan pekerja utiliti ke daerah itu untuk memperbaiki beberapa litar elektrik dan saluran paip gas yang rosak.

Bencana alam itu juga menyebabkan beberapa buah kilang mengalami kerosakan.

Difahamkan, bandar-bandar di Hebei mengalami cuaca hujan selama tiga hari dan beberapa bahagian di selatan pula dilanda ribut yang kuat.

Jabatan meteorologi di wilayah itu telah mengeluarkan amaran merah bagi hujan ribut yang dijangka berlaku hari ini. Beberapa bahagian di Handan, Xingtai, dan Shijiazhuang pula akan terus mengalami hujan lebat.

Detik-detik cemas ketika puting beliung itu melanda sempat dirakam dan menjadi tular di media sosial sejak semalam.

Sumber: China Daily