
Video Detik-Detik Kemalangan Helikopter PDRM Di Gelang Patah
Satu kemalangan melibatkan sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan berlaku berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor sebentar tadi.
Menerusi rakaman tular berdurasi 10 saat yang dikongsikan BERNAMA memaparkan helikopter berkenaan seperti hilang kawalan sebelum terhempat ke dalam sungai.
Insiden itu menyebabkan percikan air besar susulan helikopter terhempas ke permukaan air.
Sementara itu, pihak berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan kemalangan melibatkan sebuah helikopter jenis AS355N, nombor pendaftaran 9M-PHG, berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor pada hari ini.
Menurut CAAM dalam kenyataan tersebut, helikopter tersebut yang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada jam 9:51 pagi dengan lima orang penumpang termasuk juruterbang.
Pihaknya turut mengesahkan kesemua lima mangsa telah diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Johor.
“Mangsa kini sedang dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan perubatan.
“Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016.
“Mengenai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) merupakan badan kawal selia yang diamanahkan untuk menyelia dan memastikan keselamatan serta kecekapan penerbangan awam di Malaysia.
“Berpegang kepada komitmen CAAM terhadap piawaian penerbangan antarabangsa serta amalan terbaik, CAAM mengawal selia di samping turut menggalakkan pertumbuhan industri penerbangan yang mampan.
“CAAM menyediakan pengawasan merangkumi perkhidmatan navigasi udara, pelesenan kakitangan penerbangan dan operasi penerbangan awam selain menggalakkan inovasi dan mengekalkan tahap pematuhan yang tinggi terhadap piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICA0),” maklum kenyataan itu.
Sumber: Bernama