Krisis kebakaran hutan yang terjadi di Australia sangat membimbangkan masyarakat tempatan malah turut memberi kesan kepada komuniti dunia. Ekoran kebakaran tersebut, direkodkan sekitar 500 juta haiwan yang telah terbunuh setelah terperangkap dalam tragedi itu.
Bukan setakat itu, sekurang-kurangnya 24 orang telah terkorban dan melebihi 1,200 rumah telah musnah “dimamah” api yang marak tersebut. Ekoran itu, pihak berkuasa seperti bomba giat menjalankan aktiviti-aktiviti menyelamat dan memadamkan kebakaran.
Melalui satu perkongsian video, beberapa orang anggota bomba dengan beraninya meredah kebakaran tersebut dalam keadaan yang mendebarkan. Jika dilihat, api terpercik di seluruh sudut dan ianya sangat membahayakan nyawa kesemua anggota bomba itu.
Ketika rakaman itu diambil, suhu panas akibat kebakaran itu mencecah sehingga 112 °. Malah menurut seorang pegawai bomba senior, tempoh 24 jam yang sebelumnya adalah salah satu hari terburuk yang mereka pernah alami.
Tanpa mengenal erti takut, anggota bomba sangat komited untuk menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengawal kebakaran besar itu yang dipercayai bermula sejak September lalu lagi.
Menerusi satu lagi video yang dikongsikan, beberapa anggota bomba dilihat sedang mengawal kebakaran di Bukit Nowra. Keadaan bertambah rumit apabila perubahan angin barat menyebabkan kebakaran semakin cepat marak.
Terbaru, dilaporkan bahawa Australia Barat akan menghadapi cuaca Siklon tropika pertama dengan kehadiran hujan lebat dan angin kencang. Dengan kelajuan angin 125km/jam, diharapkan kebakaran yang masih lagi “bernyawa” tidak terus merebak.
Sumber: Fire and Rescue NSW