Terkini, gunung berapi Semeru di daerah Lumajang, Wilayah Jawa Timur dilaporkan telah meletus pada hari ini sehingga menyebabkan beberapa kawasan dilitupi dengan asap hitam yang tebal.
Memetik laporan Detik News, penduduk dikatakan terpaksa lari untuk mengelak dari gumpalan asap tersebut yang membuatkan keadaan di sana menjadi gelap gelita.
“Dua kecamatan di Lumajang bertukar menjadi gelap gelita iaitu di Pronojiwo dan Candipura,” kata Bupati Lumajang, Thoriqul Haq ketika dihubungi detik.com.
Bagaimanapun, pihaknya masih belum mengetahui berapa kampung yang terjejas akibat letusan itu.
Sementara itu, Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) Andiani, berkata letusan gunung berapi itu mengeluarkan abu dan asap hitam yang tebal. Ia menghala ke kawasan Besuk Kobokan, lapor Kompas.com.
“Seismogram amplitud maksimum 25mm dicatat masih lagi berlaku,” katanya.
Susulan letusan itu juga, media sosial hari ini dibanjiri dengan video dan gambar yang memaparkan ‘kekecohan’ ketika langit di sana mula menjadi gelap gelita.
Sumber: Kompas.com, Detik.com