Perpisahan merupakan suatu hakikat yang menyakitkan apatah lagi apabila ia melibatkan antara hubungan ibu dan anak. Andai boleh dipertemukan semula, pasti ia menjadi mimpi terindah walaupun hanya seketika.
Dalam satu program dokumentari Korea Selatan, kru produksi berjaya ‘menyatukan’ seorang wanita dengan anaknya yang telah meninggal dunia melalui teknologi realiti maya atau virtual reality (VR).
Dokumentari bertajuk “I Met You” itu menemukan semula Jang Jisung dan anaknya, Nayeon, 7 yang telah meninggal dunia akibat leukimia pada 2016.
Kedua-dua beranak itu dipertemukan di sebuah taman istimewa mereka semasa hayatnya.
“(Pertemuan) untuk masa yang pendek, tapi saat yang amat bahagia. Saya rasa saya dapat mencapai impian saya selama ini,” kata Jisung.
Dalam video dikongsikan, Jisung yang memakai kaca mata VR di layar hijau dilihat sempat menitiskan air mata apabila bertemu dengan anaknya yang tersayang.
Menurut MSN News, seorang model kanak-kanak telah digunakan untuk menjadi model pergerakan buat watak maya Nayeon. Sementara itu, wajah, tubuh badan dan suara Nayeon digunakan untuk menghidupkan wataknya.
Sumber: MSN News, MBC Documentary