(Video) Dah ‘Ready’ Dari Awal, Pemancing Berputih Mata, Ikan Terlepas Disambar Si Bulus

Sofea

Memancing boleh dikatakan sebagai aktiviti atau hobi yang sangat popular bagi golongan lelaki. Walaupun ada sesetengah pemancing melepaskan semula ikan yang diperolehi, namun mereka tetap akan merasa puas.

Bagaimanapun, lain pula yang berlaku kepada seorang pemancing di Indonesia ini yang nampaknya terpaksa ‘berputih mata’ setelah ikan yang dipancing olehnya terlepas dalam sekelip mata saja dan ‘dicuri’.

Menerusi video tular yang dimuatnaik oleh Regina Yaw di Facebook, pemancing tersebut dilihat sedang cuba untuk mencabut mata kail yang ditelan oleh ikan itu tetapi ia terlepas dengan sendiri.

Tanpa disedari, rupa-rupanya ada seekor kucing yang sedang menunggu masa untuk mendapatkan ikan tersebut. Menariknya, haiwan itu sudah berada dalam keadaan bersiap sedia dan seperti sudah tahu bahawa ikan tersebut akan terlepas.

Dengan aksinya yang selamba, kucing kelabu itu langsung tidak menghiraukan pemancing tersebut dan beredar dari tempat kejadian dengan membawa ‘hasil tangkapannya’.

Pemancing tersebut juga dilihat tidak melakukan apa-apa dan membiarkan saja kucing itu berlalu pergi, mungkin sudah pasrah atau menganggap ia adalah sedekah untuk haiwan tersebut.

Sehingga kini, video tersebut telah ditonton sebanyak 7.4 ribu kali di Facebook dan dibanjiri dengan pelbagai komen lucu dari warganet Indonesia.

Sumber: Regina Yaw