KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah memasuki fasa pembendungan akhir dalam usaha menangani penularan wabak Coronavirus (COVID-19).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba (gambar kecil) berkata, pembendungan akhir atau late containment bertujuan untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih serius di negara ini.
“Walaupun dalam fasa akhir ini, tetapi pihak kementerian sedang atau telah melaksanakan aktiviti dalam tahap mitigasi.
“Antara langkah-langkah yang diambil adalah telah menjadikan Hospital Sungai Buloh sebagai admitting hospital khusus untuk kes positif COVID-19,” jelasnya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Selain itu, Adham menambah, pihaknya turut telah mengenal pasti kapasiti dan kemampuan makmal untuk menjalankan pengesanan jangkitan COVID-19.
“Kementerian juga telah mewartakan pusat-pusat kuarantin di seluruh negara.
“Kita juga telah bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan fasiliti swasta dalam pengurusan kes COVID-19,” jelasnya lagi.
Difahamkan, dalam usaha menangani wabak tersebut, KKM telah bergandingan bersama para doktor dan pakar-pakar perubatan dari pusat rawatan swasta, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan juga kumpulan tabligh.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia