Kredit: Twitter

(Video) Budak Lelaki Menangis Selepas Jadi Saksi Ibu Dihina, Diarah Buka Tudung Depan Orang Ramai

Amira

Menurut European Islamophobia Report, negara Perancis mencatatkan peningkatan 52 peratus Islamofobia pada 2018 menandakan kewujudan sentimen anti-Muslim yang berakar umbi dalam masyarakat di sana.

Kekuatan sentimen berkenaan terbukti apabila seorang ahli parlimen bertindak mengecam dan memalukan seorang wanita Muslim yang hadir bagi mengiringi rombongan sekolah termasuk anaknya melawati parlimen negara berkenaan.

Ketika sesi plenari Majlis Daerah Burgundy-Franche-Comté, salah seorang ahli politik berhaluan kanan, Julien Odoul bertindak meminta wanita berkenaan menanggalkan tudungnya atas prinsip sekular dan republikan.

Odoul yang mewakili parti National Rally turut memuatnaik video tersebut ke laman Twitter miliknya yang mendapat 4 juta tontonan. Dalam video itu, Odoul menyatakan bahawa pemakaian hijab wanita bersifat provokatif terhadap prinsip mereka diikuti tepukan beberapa ahli dewan yang lain.

Sekeping gambar didakwa si ibu memeluk anaknya yang menangis turut dikongsi pengguna lain di laman berkenaan.

“Stigma terhadap wanita yang memakai tudung bukanlah perkara baru tetapi semakin menjadi-jadi dalam dekad kebelakangan ini,” kata Leonard Faytre yang menjadi sebahagian penyumbang European Islamophobia Report yang memantau perkembangan sentimen anti-Muslim di Eropah.

Katanya, undang-undang telah menyekat kebebasan wanita Muslim dengan mengharamkan hijab dan niqab di sekolah di samping pihak media dan ahli politik yang sentiasa menganggap pemakaian hijab di tempat awam sebagai jenayah.

September tahun ini, Menteri Pendidikan Perancis, Jean-Michel Blanquer telah menggesa pihak sekolah dan persatuan ibu bapa agar mengelakkan daripada membawa ibu-ibu yang berpenampilan sebagai Muslim menyertai rombongan sekolah.

Wanita Muslim lebih terdedah kepada risiko diskriminasi dan serangan berpunca daripada Islamofobia.

Sumber: TRT World, Julien Odoul, Zahid Akhtar, The Guardian