Lebih 80 ekor burung unta dilaporkan telah terlepas dari kandang mereka di Bandar Chongzuo di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang China Selatan.
Memetik laporan India Times, kesemua burung unta itu dilihat memenuhi jalan raya di bandar tersebut pada Sabtu.
Haiwan milik penternak tempatan itu dipercayai telah melarikan diri setelah pintu pagar kandang mereka dibiarkan tidak berkunci. Pihak polis mengatakan bahawa kesemua burung unta itu telah berjaya dibawa kembali ke kandang mereka.
Mujur tiada siapa yang mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Untuk makluman, burung unta kebiasaannya memakan sayur dan mempunyai berat 100kg.
Hasil siasatan mendapati bahawa ladang tempatan itu mempunyai lebih daripada 300 burung unta yang diternak.
Video ketika ia ‘menyerbu’ jalan raya di bandar tersebut telah menjadi tular di media sosial.
Bagaimanapun, kejadian seperti ini bukan pertama kali berlaku kerana beberapa haiwan yang ‘luar biasa’ sebelum ini pernah dirakam berlegar-legar di kawasan bandar dan tempat tumpuan ramai.
Antaranya adalah insiden seekor badak sumbu yang dilihat ‘berjalan-jalan’ dengan santai dan akhirnya telah mengejar seorang lelaki selama beberapa saat.