Pandemik COVID-19 memberi kesan yang besar buat seluruh dunia termasuklah Malaysia. Menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), bagi suku pertama tahun ini sahaja, kadar kehilangan pekerjaan di Malaysia dilaporkan meningkat sebanyak 42 peratus akibat pandemik COVID-19.
Krisis ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia di mana lebih 36 juta pekerjaan dilaporkan terjejas di Amerika Syarikat sejak Mac lalu.
Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter berkongsi video orang ramai beratur panjang di tepi jalan, dipercayai sedang menunggu giliran untuk temuduga di Institut Kemahiran MARA.
Dalam video berkenaan, kelihatan orang ramai berpakaian kemas beratur panjang di tepi sebuah jalan, malah ada antara mereka dilihat membawa fail.
Video ini telah mendapat perhatian lebih 6.5 ribu pengguna dan 579 ribu tontonan setakat ini sejak ia dikongsikan pada 12.25 tengah hari semalam.
Rata-rata warga maya meluahkan rasa sedih melihatkan hakikat pengangguran di Malaysia terutamanya selepas pandemik.
Ada juga individu yang mendakwa berada di lokasi tersebut bagi menghadiri temuduga.

Sementara itu, ada warga maya yang berkongsi iklan-iklan jawatan kosong bagi individu yang berminat.
Semoga anda semua yang sedang mencari pekerjaan, dimudahkan urusan dan dimurahkan rezeki selalu.