
Ban berhampiran pintu kunci air Taman Sri Muda, Shah Alam dilaporkan pecah menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan terdekat, lapor Astro Awani.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, pihaknya bersedia dengan sebarang kemungkinan setelah panggilan kecemasan diterima kira-kira jam 8.15 malam pada Rabu.
“Dilaporkan ban berhampiran pintu kunci air telah pecah mengakibatkan limpahan air berlaku dan dikhuatiri melimpah ke kawasan perumahan berhampiran,” ujar Norazam.
Katanya, pasukan telah pun dihantar untuk membuat pemeriksaan dan setakat ini keadaan masih terkawal.
“Pihak bomba telah bersiap sedia dengan sebuah bot aluminium, bot fiber dan kenderaan untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Menurut tinjauan di media sosial, para penduduk sekitar Taman Sri Muda rata-rata menyuarakan kebimbangan ekoran insiden ban pecah tersebut.
Namun menurut kemaskini di laman Facebook Exco Kerajaan Selangor, Ganabatirau Veraman, aktiviti pembaikian sedang dijalankan oleh pihak kontraktor untuk membaikpulih tebing yang pecah dengan kadar segera.
“Terima aduan insiden tebing pecah di sebuah kunci air Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam. Di sini Ahli Majlis Tuan Papparaidu dengan bantuan penguatkuasa MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) telah mengarahkan kontraktor untuk membaiki tebing yang pecah dengan segera. Aktiviti pembaikian sedang dilaksanakan pada ketika ini,” jelas beliau melalui hantaranya sebentar tadi.
Sumber: Facebook, Astro Awani