Seorang atlet lompat jauh Greece, Miltiadis Tentoglou mencuri tumpuan dunia, khsusunya dalam kalangan pengikut setia siri anime One Piece apabila aksinya ketika sesi pengenalan peserta menjadi viral.
Beliau yang turun bertanding dalam acara akhir lompat jauh lelaki, telah menggayakan aksi ”Gear Second” yang sering diperagakan oleh watak utama siri berkenaan, iaitu Monkey D. Luffy setiap kali berdepan dengan musuh.
Lebih bertuah, beliau kemudiannya berjaya memenangi pingat emas dalam acara berkenaan. Bagaimanapun, gaya yang diperagakan ketika sesi pengenalan nyata lebih menarik perhatian wartawan.
”Jika anda tahu, maka anda tahu. Ia berasal dari One Piece. Kekuatan Luffy bertambah apabila dia berbuat begitu” katanya ringkas ketika mengulas gaya berkenaan.
Luffy adalah salah satu watak anime berasal dari Jepun yang paling popular. Malah, siri anime berkenaan menerajui carta dengan salinan komik paling banyak terjual di seluruh dunia.
Dalam edisi Olimpik Tokyo, Luffy antara watak yang dipilih untuk mewakili subbudaya Jepun untuk tatapan para penonton Olimpik diseluruh pelosok Bumi.
Sumber: Kotaku