Sepasukan penyelamat Sepanyol sedang berusaha mencari empat peneroka gua dari Portugal yang terperangkap gara-gara banjir secara tiba-tiba berlaku di dalam gua yang terletak di Cantabria, utara Sepanyol.
Keempat-empat mereka yang juga ahli kelab mendaki di Porto dilaporkan hilang pada Sabtu ketika sedang meneroka Gua Ueto-Coventosa berdekatan dengan Arredondo.
Pasukan penyelamat hanya berjaya memasuki gua tersebut sedalam 50m sahaja pada Ahad, paras air yang terlalu tinggi telah membataskan usaha pasukan penyelamat itu untuk menyelamatkan mereka.
Sebuah video yang telah dimuat naik oleh seorang penyelamat tempatan bernama Escocan menerusi akaun Facebooknya menunjukkan arus air yang deras sedang mengalir di dalam gua tersebut.
Pasukan penyelamat masih lagi sedang berusaha mencari alternatif lain untuk membolehkan mereka melepasi air yang deras itu, lapor media Sepanyol.
Pada Julai lalu, tiga orang peneroka gua yang dilaporkan terperangkap di gua yang sama telah berjaya diselamatkan.
Rakan daripada empat orang mangsa tersebut telah pergi mencari mereka pada Ahad lalu kerana tidak menerima apa-apa berita daripada mangsa. Semasa mereka pergi ke gua tersebut, mereka mendapati bahawa air telah menghalang laluan masuk ke dalam gua tersebut.
Melihat pada keadaan itu, mereka segera menghubungi pasukan kecemasan Sepanyol bagi mendapatkan bantuan.
Keempat-empat mangsa yang terperangkap itu merupakan peneroka gua yang berumur sekitar 30 tahun dan sangat berpengalaman, kata salah seorang rakan mereka pada agensi berita.
Namun begitu, paras air yang semakin meningkat telah membuatkan mereka terperangkap tanpa diduga, kata Vitor Gandra.
Sumber: BBC