Sekurang-kurangnya 43 orang terbunuh dalam ribut yang disebabkan oleh ‘sisa-sisa’ taufan Ida yang melanda New Orleans, Amerika Syarikat beberapa hari sebelumnya.
Menurut The New York Times, ribut ganas itu mengorbankan penduduk di empat negeri iaitu di New York, New Jersey, Pennysylvania dan Connecticut, kebanyakan dari mereka berada di pangsapuri di bawah tanah.
Lebiha daripada 150,000 rumah juga tidak mempunyai bekalan elektrik kesan dari bencana alam itu.
Banjir melanda beberapa jam selepas hujan lebat pada Rabu, menjadikan jalan stesen kereta api bawah tanah ‘tenggelam’.
Ia menyebabkan ratusan orang dipindahkan dari kereta api dan pelantar bawah tanah. Video dan gambar semasa kejadian juga telah dimuatnaik oleh beberapa orang pengguna di media sosial.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengatakan bahawa ia merupakan krisis iklim yang sangat ekstrem dan menjadi cabaran yang besar untuk semua pihak pada ketika ini.
Beliau telah mengisytiharkan darurat di New York dan New Jersey pada Khamis, ia membolehkan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan menyelaraskan usaha bantuan bencana.
Sumber: The New York Times