Satu rakaman pesawat yang dilihat ‘beku’ di udara telah menarik perhatian jutaan pengguna di media sosial.
Dalam rakaman dimuatnaik @lesxbalboa di TikTok yang dikongsikan semula Daily Star, dia mendakwa telah melalui lokasi sama pada dua hari kemudiannya dan mendapati pesawat itu masih berada pada posisi yang sama.
Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada ianya pesawat yang sama atau tidak yang dilihat seakan statik di udara itu.
“Saya mula rakam sebab saya perasan pesawat ini statik di udara. Ada pesawat lain telah melintasi beberapa minit lepas, jadi saya tahu ia tidak bergerak.
“Saya lalu lagi dua hari kemudian dan lihat ia lagi. Sesiapa tolong jelaskan,” katanya.
Rakaman itu telah menarik jutaan penonton dengan 2 juta tanda suka serta ribuan komen daripada pengguna berbagai negara.





Menurut Daily Star, kejadian tersebut berkemungkinan merupakan ilusi optik di mana fenomena serupa pernah berlaku di Moscow pada 2018 lalu.
Semasa kejadian itu, pengguna jalan raya mendapati pesawat berada statik di udara tanpa pergerakan.
Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kelajuan pesawat, angin pada arah berlawanan serta kedudukan kereta yang membuatkan pesawat kelihatan ‘tergantung’.