KOTA BHARU, 31 Dis (Bernama) — Bekas veteran UMNO Datuk Hassan Harun, 75, meninggal dunia pada 5 pagi tadi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, dekat sini, akibat penyakit kencing manis kronik, yang dihidapi sejak 20 tahun lepas.
Isterinya, Datin Che Fatimah Mohd Saad, 73, berkata Allahyarham menjalani pembedahan membuang batu dalam hempedu pada 14 Dis lepas.
“Pada 18 Dis, beliau dibenarkan pulang dari hospital, namun kelihatan lemah dan tidak ada selera makan dan mengalami demam panas beberapa hari lalu sebelum dimasukkan ke wad kecemasan, seterusnya di ICU HUSM.
“Saya ingatkan tanda itu sama seperti beliau pernah keluar wad selepas pembedahan pintasan jantung (angiogram) beberapa tahun lalu yang kelihatan lemah, rupa-rupanya kali ini arwah pergi buat selama-lamanya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Wadi Sofia, Kampung Padang Bongor, Binjai di sini.
Allahyarham meninggalkan dua balu, Che Fatimah dengan tujuh anak manakala dua lagi anak bersama Liyana Leng Abdullah, 51. Allahyarham juga meninggalkan 12 cucu.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dalam Kuin, Binjai selepas solat Zohor.
Sementara itu, Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor berkata Allahyarham merupakan kenalan rapatnya sejak menuntut pelajaran di Universiti Malaya pada awal 1970-an.
“Allahyarham Hassan adalah penuntut lebih tua (senior). Beliau merupakan pelopor bidang pendidikan swasta yang sangat berpandangan jauh dan prihatin kepada pelajar yang tercicir dalam pelajaran.
“Kami sama-sama berusaha menempatkan mereka (pelajar gagal) di sekolah swasta untuk mengambil semula peperiksaan hingga menyambung pelajaran di peringkat universiti,” katanya selepas menziarahi jenazah Allahyarham serta keluarga.
Allahyarham merupakan tokoh terkenal dalam pendidikan sekolah dan universiti swasta di Malaysia dan merupakan antara pengasas Sekolah Kadir Adabi, Akademi Kenali, Universiti Teknologi Abdul Razak (Unitar), Institut Pendidikan (IP) dan Sekolah Antarabangsa Wadi Sofia.
Selain itu, Hassan juga bekas Pengerusi KUB Malaysia Berhad (KUB) yang membawa syarikat dari tahap koperasi menjadi status badan korporat yang terkenal.
Dalam arena politik pula, beliau menyertai Bersatu tahun ini dan bertanding jawatan Ketua Bahagian Bersatu Pengkalan Chepa.
— BERNAMA