
Vaksin Pneumokokal Konjugat 20-Valen Pfizer Kini Diluluskan di Malaysia, Memberi Perlindungan Terhadap 20 Jenis Strain Pneumokokal
KUALA LUMPUR, 28 Julai 2025 – Pfizer Malaysia mengumumkan bahawa vaksin pneumokokal konjugat 20-valen (PCV20) telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk digunakan dalam kalangan individu seawal usia 6 minggu hingga bawah 18 tahun, serta individu dewasa berumur 18 tahun dan ke atas di seluruh Malaysia1. PCV20 menawarkan pilihan vaksin pneumokokal konjugat yang lebih menyeluruh di Malaysia, dengan perlindungan terhadap 20 serotaip Streptococcus pneumoniae, iaitu bakteria yang menyebabkan beban penyakit yang ketara seperti pneumonia, meningitis, sepsis dan jangkitan telinga tengah1,4.
Pengumuman ini dibuat pada masa yang tepat memandangkan Malaysia masih berdepan dengan beban penyakit pneumokokal yang tinggi, terutamanya dalam kalangan dua kumpulan populasi utama: kanak-kanak dan warga emas5. Selain itu, pneumokokus merupakan antara punca utama pelbagai jangkitan invasif merentas semua peringkat umur, termasuk pneumonia invasif4. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, pneumonia merupakan punca utama kematian di seluruh negara, yang telah meragut lebih 18,000 nyawa pada tahun 20236. Risiko jangkitan meningkat dengan ketara dalam kalangan warga emas serta individu yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, penyakit jantung dan penyakit paru-paru kronik7.
“Kelulusan ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha pencegahan penyakit di Malaysia,” kata Puan Deborah Seifert, Ketua Kluster untuk Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Filipina di Pfizer. “PCV20 mengukuhkan komitmen kami untuk menyokong komuniti yang lebih sihat dengan membantu melindungi lebih ramai orang, merentasi lebih banyak peringkat kehidupan, daripada jangkitan yang berpotensi serius1. Kami berbangga dapat memperkenalkan vaksin yang mencerminkan lebih dua dekad legasi dalam perlindungan pneumokokal8.”
Profil demografi Malaysia menunjukkan perkembangan pantas. Menjelang tahun 2030, satu daripada lima rakyat Malaysia dijangka berumur 60 tahun ke atas9. Pada masa yang sama, prevalens penyakit tidak berjangkit (NCD) terus meningkat, dengan satu daripada enam orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes dan satu daripada tiga mengalami hipertensi atau paras
kolesterol yang tinggi10. Penyakit kronik seperti kegagalan jantung dan penyakit buah pinggang kronik turut menunjukkan peningkatan. Keadaan ini boleh melemahkan sistem imun dan meningkatkan kerentanan terhadap jangkitan saluran pernafasan seperti pneumonia pneumokokal4,11,12.
“Penyakit pneumokokal sering kali tidak dikenal pasti sehingga sudah terlambat. Sepanjang saya merawat pesakit, saya telah menyaksikan ramai warga emas di Malaysia dimasukkan ke hospital akibat komplikasi pneumonia; ada yang memerlukan rawatan rapi, dan ada pula yang mengambil masa lama untuk pulih13. Malah, pneumonia merupakan penyebab utama kemasukan ke hospital bagi kes berkaitan pernafasan, dan tahap serius penyakit ini biasanya meningkat seiring usia, sering kali sehingga memerlukan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dalam kes yang kritikal13,14. Ini bukan kes yang jarang berlaku, sebaliknya menunjukkan satu corak yang boleh dicegah. Pneumonia pneumokokal, khususnya, ialah penyakit yang boleh dicegah melalui vaksinasi4,” kata Profesor Madya Dr Pang Yong Kek, Pakar Perunding Perubatan Pernafasan.
PCV20 dibangunkan berlandaskan PCV13, dengan penambahan perlindungan terhadap 7 serotaip tambahan – 8, 10A, 11A, 12F, 15B, 22F dan 33F – yang telah dikaitkan dengan rintangan antibiotik dan penyakit invasif2.
Serotaip pneumokokal yang bersifat dinamik merupakan cabaran dalam mengawal penyakit pneumokokal16. PCV20 diformulasikan bagi menangani jurang ini, dengan liputan serotaip yang lebih meluas sebagai respons terhadap pola penyakit yang semakin berkembang1,15.
“Setiap ibu bapa sudah tentu mahu memberikan permulaan hidup yang terbaik buat anak mereka, dan sebagai pakar pediatrik, kami melihat sendiri betapa pentingnya tahun-tahun awal dalam membentuk kesihatan sepanjang hayat,” kata Prof. Datuk Dr Zulkifli Ismail, Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Jantung Kanak-Kanak.
“Sistem imun kanak-kanak masih dalam proses perkembangan pada tahun-tahun awal, dan inilah tempoh mereka paling terdedah kepada jangkitan serius seperti meningitis pneumokokal atau sepsis pneumokokal, yang boleh membawa kesan jangka panjang17,18.”
Pfizer memperkenalkan vaksin pneumokokal konjugat pertamanya, vaksin pneumokokal konjugat 7-valen (PCV7) lebih dua dekad lalu, diikuti dengan vaksin pneumokokal konjugat 13-valen, PCV1319. Kedua-dua vaksin ini telah diguna pakai secara meluas di peringkat global dan dimasukkan ke dalam program imunisasi awam20,21. PCV20 merupakan evolusi seterusnya, yang direka bentuk bagi menggambarkan perubahan penyakit dan keperluan populasi masa kini1,15.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah menyaksikan peningkatan serotaip bukan- PCV13 di peringkat global. Serotaip 8 kini muncul sebagai salah satu punca utama penyakit pneumokokal invasif dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, dan trend ini berterusan sejak beberapa tahun lalu22,” kata Prof. Dr. Mark van der Linden, Pengarah, Pusat Rujukan Kebangsaan untuk Streptokokus, Jerman.“Perubahan dalam corak epidemiologi ini mengukuhkan lagi kepentingan vaksin valen lebih tinggi seperti PCV20, yang membantu menutup jurang perlindungan kritikal dan mencerminkan pemahaman saintifik terkini1,15,22.”
“Dalam usaha memperkukuh landskap imunisasi dewasa di Malaysia, pendidikan awam dan kempen kesedaran penyakit yang berterusan akan memainkan peranan penting,” kata Prof. Dr. Zamberi Sekawi, Presiden Malaysian Society of Infectious Diseases and Chemotherapy. “Kini dengan ketersediaan PCV20, kita harus memperkukuh usaha untuk memperkasakan imunisasi dewasa di negara ini. Profesional kesihatan merupakan penyampai mesej utama dalam menggalakkan lebih ramai golongan dewasa untuk mendapatkan imunisasi23. Dengan sokongan daripada pertubuhan perubatan, penggubal dasar dan media, kita mampu membina sebuah negara yang lebih sihat dan lebih terlindung.”
PCV20 telah diluluskan di lebih 40 buah negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Hong Kong dan Singapura8,24,25,26. Kelulusan di Malaysia disokong oleh data menyeluruh daripada kajian klinikal melibatkan populasi dewasa dan pediatrik, yang menunjukkan tindak balas imun yang setara dengan PCV13 bagi 13 serotaip asal serta imunogenisiti tambahan bagi 7 strain baharu yang dimasukkan. Vaksin ini juga menunjukkan tahap toleransi yang konsisten merentasi pelbagai kumpulan umur, termasuk apabila diberikan bersama vaksin rutin lain1.