United Kingdom menjadi negara pertama di dunia yang meluluskan vaksin COVID-19 dari Pfizer/BioNTech untuk digunakan secara meluas, lapor BBC.
Pegawai selia Britain, MHRA, berkata bahawa vaksin yang menawarkan perlindungan sebanyak 95% terhadap jangkitan COVID-19 itu akan selamat dilancarkan minggu hadapan.
Imunisasi boleh bermula dalam beberapa hari bagi mereka yang sangat memerlukannya seperti orang tua di rumah jagaan.
Menurut BBC, UK telah memesan 40 juta dos yang cukup untuk untuk 20 juta orang.
Sebanyak 10 juta dos akan segera tersedia dengan 800,000 yang pertama tiba di UK dalam beberapa hari akan datang.
Kira-kira 50 hospital sedang bersiap sedia dan pusat vaksinasi seperti di pusat persidangan sedang ditubuhkan ketika ini.
Vaksin tersebut merupakan vaksin jenis baru yang disebut sebagai mRNA yang menggunakan sebilangan kecil kod genetik dari virus COVID-19 untuk ‘mengajar’ tubuh bagaimana melawan COVID-19 dan membina kekebalan.
Pakar telah menyusun senarai keutamaan sementara yang akan mendapat vaksin tersebut, mereka menyasarkan orang yang berisiko tinggi.
Menerusi laporan sebelum ini, Pfizer dan BioNTech sedang menunggu kelulusan daripada EU untuk mengedarkan vaksin mereka ke seluruh dunia.
Sumber: BBC