”Uyghur: Ummah Yang Berdarah”, Ozil Kritik Dunia Islam Abai Penindasan Etnik Uyghur

Fazidi

Pemain sensasi Arsenal yang juga bintang Liga Perdana Inggeris, Mesut Ozil baru-baru ini meluahkan kekecewaannya terhadap dunia Islam yang didakwa berdiam diri dengan penindasan yang ditanggung oleh etnik Uyghur di China.

Kenyataan dalam bahasa Turki berkenaan dimuat naik oleh beliau di Instagramnya pada 13 Disember.

Perkongsiannya yang bertajuk ”Turkestan Timur: Ummah Yang Berdarah” itu menggambarkan etnik Uyghur sebagai ”pejuang yang menentang penganiayaan yang cuba mengasingkan mereka dari agama”.

”Al-Quran mereka dibakar. Masjid dan sekolah agama ditutup. Alim ulama mereka dibunuh. Pemuda-pemuda ditahan di kem tahanan dan wanita-wanita dipaksa hidup dan berkahwin dengan orang asing.

”Tetapi dunia Islam berdiam diri. Mereka langsung tidak bersuara. Mereka ini telah mengabaikan saudara Uyghur. Apakah mereka tidak sedar, tidak kisah dengan penganiayaan itu juga satu penganiayaan?” kata Ozil dalam pengkongsian tersebut.

Arsenal dalam pada itu turut mengeluarkan kenyataan yang bertegas kelab tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pandangan peribadi yang dibuat oleh Ozil.

”Kenyataan yang dibuat oleh Ozil adalah pandangan peribadi beliau. Sebagai sebuah kelab bola sepak, kami mempunyai pendirian tegas untuk tidak sesekali mencampuri urusan politik mana-mana pihak,” lapor Metro.

Sumber: Metro UK