KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) — Universiti Teknologi Petronas (UTP) akan menjadi tuan rumah Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON2020) edisi keenam secara maya dari 13 hingga 15 Julai ini.
UTP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kongres tiga hari itu akan menyaksikan penyertaan lebih 1,000 pakar daripada pelbagai bidang penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan, dari 30 negara.
Kongres itu menyediakan platform untuk industri, akademik, kerajaan dan orang awam untuk mengambil bahagian dalam perbincangan global itu yang merangkumi pelbagai topik daripada simulasi, data raya dan analisis, realiti luasan, robot autonomi dan Internet Benda (IoT) perindustrian ke topik bukan teknikal seperti kepimpinan dan nilai, ekonomi, komunikasi dan komuniti.
“Satu lagi acara kemuncak ESTCON2020 ialah pameran secara maya yang berlangsung serentak dengan persidangan, dengan penggiat industri daripada syarikat dan pelbagai industri akan mempamerkan produk, perkhidmatan dan inovasi terbaharu mereka,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Naib Canselor UTP merangkap Pengerusi ESTCON2020 Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib pada prapelancaran secara maya kongres itu hari ini berkata, lebih 700 pembentang kertas kerja dari seluruh dunia termasuk Malaysia akan membentangkan kertas mereka pada kongres itu.
“Sebanyak sembilan persidangan akan diadakan serentak bagi menyediakan peluang kolaborasi antara sektor swasta, kerajaan dan penyelidik untuk memanfaatkan kepakaran gabungan mereka bagi mewujudkan penyelidikan berkualiti tinggi, penyelesaian yang diinginkan industri dan objektif nasional yang strategik,” katanya.
Antara sembilan persidangan itu ialah Persidangan Antarabangsa mengenai Teknologi dan Kejuruteraan Minyak dan Gas (ICOGET 2020), Persidangan Antarabangsa mengenai Kejuruteraan Awam, Luar Pantai dan Alam Sekitar (ICCOEE 2020), Persidangan Antarabangsa mengenai Sains Komputer dan Maklumat (ICCOINS 2020) dan Persidangan Antarabangsa untuk Pengurusan, Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICMeSH2020).
Bertemakan ‘Sains, Teknologi dan Kemanusiaan: Penciptaan Semula Masa Hadapan’, kongres itu disokong oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Akademi Sains Malaysia.
UTP mengalu-alukan delegasi tempatan dan luar negara untuk mendaftar menghadiri acara ini menerusi http://estcon.utp.edu.my/.
Sumber: BERNAMA