Utamakan Solat, Peniaga Buah Tawakal Tinggalkan Jualan
Rakyat Malaysia sangat suka berniaga, tidak kira besar atau kecil perniagaan itu, ia sememangnya mampu merancakkan ekonomi negara.
Tidak hairan, kerana berniaga juga adalah salah satu sunnah Rasulullah SAW. Ada sesetengah orang yang berniaga bukan untuk menjadi kaya-raya tetapi sekadar cukup untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Bercakap mengenainya, ketika ini ramai peniaga buah-buahan mencari rezeki menjual di tepi jalan. Kebanyakan dari mereka akan membuka gerai dari awal pagi hingga ke malam.
Hanya tawakal kepada Allah
Salah satu gerai buah-buahan mencuri tumpuan baru-baru ini apabila tular satu video yang memaparkan peniaganya sangat tawakal kepada Allah SWT.
Mana tidaknya, peniaga warga emas itu membenarkan pelanggan untuk melayan diri ketika dia berehat sebentar untuk menunaikan solat.
Perkongsian yang dimuat naik oleh penyanyi dan YouTuber, Zack Merican memperlihatkan peniaga itu meninggalkan nota, menyatakan bahawa pelanggan boleh menimbang sendiri buah-buahan yang ingin dibeli dan membuat pembayaran menerusi pemindahan ke akaun bank miliknya atau QR.
“Anak aku teringin nak makan buah, tapi yang menariknya pakcik ni (peniaga) tengah rehat, solat, jadi dia suruh layan diri.
“Timbang dan bayar QR atau transfer. Jadi sekarang kami tengah layan diri. Jujur, ambil, timbang sendiri lepas itu transfer dekat QR pakcik ni.
“Memang cukup-cukup dahsyatlah pakcik ni berniaga, dia punya kebergantungan kepada Allah itu real. Dia rasa tidak ada rugi walaupun sedikit sebab dia hanya pergi solat.
“Dia tahu rezeki dia Allah jaga. Jadi kalau korang nak beli buah tolonglah beli dengan pakcik ni. Semoga pakcik ni diperluaskan rezeki,” kata Zack menerusi video itu.
Menurutnya lagi, gerai buah itu terletak di hadapan Restoran Bidayah Wangsa Melawati.
Peniaga tersebut selepas itu datang semula ke gerainya selepas selesai menunaikan solat. Ketika ditanya bagaimana dia berani meninggalkan gerainya, peniaga tersebut berkata dia hanya tawakal. Jika ada yang ambil tanpa membayar, dia menganggap itu adalah sedekah.
“Dunia ini milik Allah, rezeki Allah bagi bukan orang bagi,” katanya.
Sifat tawakal peniaga itu mendapat pujian ramai dan ada juga yang mendoakan peniaga itu terus dimurahkan rezeki.
Sumber: Zack Merican