akta pembaharuan semula bandar
Tiada Kategori

Utamakan Hak Pemilik Asal, MNKT Setuju Penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar

Nurul Naqiyah

Utamakan Hak Pemilik Asal, MNKT Setuju Penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar

Putrajaya (September 10, 2024) — Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) telah bersetuju untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar yang akan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkongsi perkara tersebut selepas Mesyuarat MNKT ke-83 yang diadakan pada hari ini.

“Tanpa penggubalan akta ini, jika kita ingin membangun semula sebuah bangunan yang usang dan daif, kita memerlukan seratus peratus persetujuan penduduk.

“Keadaan ini amat menyusahkan dan tidak adil jika kebanyakan penduduk ingin membangunkan semula bangunan itu tetapi terdapat segelintir kecil yang bantah,” kata Kor Ming.

Justeru, KPKT bercadang untuk mewujudkan ambang persetujuan 80% kepada bangunan yang berusia kurang daripada 30 tahun dan 75% kepada bangunan yang berusia lebih daripada 30 tahun.

Bagi bangunan yang tidak lagi selamat untuk didiami serta bangunan yang terbengkalai, KPKT bercadang untuk mewujudkan ambang persetujuan 51% sahaja supaya dapat mempercepatkan proses pembaharuan bangunan tersebut.

akta pembaharuan semula bandar

Kor Ming juga menegaskan kepentingan penggubalan akta ini bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.

“Kita sudah ketinggalan beberapa dekad berbanding dengan negara lain dalam isu pembaharuan bandar ini, di mana negara-negara lain seperi Singapura dan Australia.

“Kadar perbandaran Malaysia sudah pun mencecah 75% dan ia memberi tekanan terhadap risiko keusangan dan kemerosotan struktur bandar. Dengan penggubalan akta ini, kita dapat memastikan pembangunan bandar kita adalah mampan dan selamat untuk didiami,” tambah beliau.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah mengenal pasti sebanyak 139 tapak berpotensi untuk dibangunkan semula dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM355.5 bilion.

Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun depan.

Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disertai oleh ahli-ahli kabinet serta wakil-wakil daripada pelbagai kementerian dan kerajaan negeri.