Jenama popular tempatan iaitu Absolut Chocolat kini mula membuka cawangan stor fizikal pertamanya di pusat beli belah terkemuka, Mid Valley Megamall selepas tiga tahun beroperasi dalam talian.
Jenama yang dimiliki anak tempatan berbangsa Melayu itu mahu bersaing secara sihat dan sebaris dengan jenama besar lain di pasar raya terkemuka negara di bawah tapak bernombor LGC-18.

Jenama yang diusahakan oleh pasangan suami isteri, Ben Ali dan Nadiyah Shahab itu berdaftar di bawah Absolut Brands Sdn Bhd sejak dari 18 Februari 2018.
Pengarah urusannya, Ben menyatakan bahawa tujuan utama syarikatnya memasuki pasaran ‘offline’ adalah sebagai strategi keluar daripada zon selesa.
“Ini kerana sektor ‘offline’ terutamanya di dalam pasar raya mega ini didominasi oleh bangsa lain selain Melayu. Lantas ia menjadikan faktor ini sebagai satu cabaran dan batu loncatan kepada kami untuk terus maju kehadapan melalui visi dan misi yang diperjuangkan.
“Walaupun laluan itu tidak mudah bagi sebuah jenama yang dikirakan baru untuk pasaran offline seperti kami, saya optimis. Usaha ini juga sebagai langkah permulaan bagi kami untuk membawa nama Absolut Chocolat tidak hanya di Malaysia, bahkan di serata dunia,” katanya.
Menurut Ben atau nama penuhnya, Nur Ali Nadzwan, jenama yang baru menerima pengiktirafan oleh Superbrand International dengan menjadi salah satu jenama yang membawa gelaran ‘Superbrand’ di Malaysia itu juga cuba melawan arus.

“Antara sebab lain kenapa kami melebarkan cabang peniagaan ke sektor luar talian (offline) ini selepas melihat kesan pandemik COVID-19 yang menggegar dunia. Khususnya kepada peniaga offline yang paling terkesan dan terpaksa menutup kedai selama berbulan bulan kerana terpaksa akur dengan arahan pihak berkuasa.
“Di saat banyak perniagaan offline mahu bertukar ke online, kami pula mengambil langkah sebaliknya. Usaha itu juga sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya apa-apa berlaku pada dunia dalam talian. Sekurang kurangnya kami mempunyai sandaran perniagaan offline juga. Siapa pun tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti, dunia perlu menutup operasi ekonomi secara menyeluruh,” katanya.
Lokasi pertama yang dipilih itu turut didorongi dengan faktor mahu ia diterima semua lapisan masyarakat sebagai usaha untuk menembusi pasaran luar talian.
“Salah satunya, kerana pusat beli belah itu memiliki faktor demografik yang lebih seimbang. Selama ini 85 peratus daripada pelanggan kami di kalangan orang berbangsa Melayu. Namun kami percaya bahawa perniagaan berasaskan food and beverage (F&B) ini untuk semua kaum.
“Jadi kami memilih pusat belah itu juga kerana 50 peratus pengunjungnya di kalangan kaum Cina. Lucunya menerusi bancian kami lakukan selepas dua minggu beroperasi di situ, menyangka jenama kami dari Korea. Malah rata rata terutama pelanggan berbangsa Cina tidak pernah mendengar jenama kami,” katanya.
Ketua Pengarah Eksekutif, Nadiyah, berkata bahawa empat lagi kios fizikal di pusat beli lain sedang dirancang kemasukannya dalam tahun ini.

“Apabila mula memasuki Mid Valley, kami mula mendapat pelawaan daripada beberapa pusat beli belah utama lain.
“Seiring dengan apa yang dirancang, kami akan membuka empat lagi cawangan kios di Pavilion KL, Sunway Pyramid, IOI Mall Putrajaya dan Sunway Velocity bermula dari Oktober sehingga Disember 2021.
“Dan kami dijangka akan membuka lima cawangan kios lagi juga di Lembah Klang sebelum April tahun depan. Ia menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 10 cawangan bagi suku pertama 2022,” katanya.
Dalam pada itu, jenama ini beroleh rezeki dan terus bertahan meneruskan survival di era pandemik.
“Pada tahun lalu, syukur perniagaan kami tidak terkesan kerana fasa sekatan pergerakan perjalanan pertama menyaksikan kebanyakan masyarakat banyak berbelanja di sektor online. Sekaligus ia menyebabkan kami mencatat hasil jualan yang tinggi berbanding tahun sebelumnya.
“Namun bagi tahun ini pula, aliran perbelanjaan masyarakat dilihat agak sedikit perlahan. Mungkin disebabkan oleh faktor mahu berjimat cermat apabila sudah memasuki fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kami sejujurnya sedikit terkesan,” katanya.