KOTA BHARU, 9 Julai (Bernama) — Usaha pelbagai pihak untuk menderma darah perlu dilakukan secara konsisten bagi mengoptimumkan penggunaannya memandangkan bekalan darah juga mempunyai tempoh luput.
Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata kebiasaannya bekalan darah hanya boleh digunakan dalam sekitar sebulan setengah sebelum ia tamat tempoh.
“Setakat ini kita telah melakukan pelbagai inisiatif untuk mendapatkan bekalan darah bagi menambah bekalan sedia ada walaupun sehingga hari ini bekalan kita bukan di peringkat kritikal namun berada di peringkat bertahan bagi tempoh penggunaan lima hingga tujuh hari.
“Bagaimanapun, kita perlu memastikan bekalan darah sentiasa ada kerana penggunaan darah ini adalah berterusan bukan sahaja di HRPZ II, tetapi ia juga untuk dibekalkan kepada hospital-hospital daerah dan juga hospital swasta di negeri ini,” katanya selepas hadir program derma darah anjuran Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK) di Tanjung Mas, di sini hari ini.
Turut hadir Exco Kerajaan Negeri Datuk Mumtaz Md Nawi dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan Supt Ahmad Azizul Mohamed dan Pengerusi KKAK, Meor Shamshir Meor Zulkifli Auni.
Dr Selasawati berkata sehingga kini, anggaran purata penggunaan darah untuk sehari adalah sekitar 60 hingga 80 beg bagi menampung keperluan membabitkan pelbagai kes dan juga kecemasan.
“Kebanyakan keperluan bekalan darah ini digunakan kepada pesakit wanita yang mengalami tumpah darah selepas bersalin selain kes-kes kemalangan dan juga kecemasan melibatkan pembedahan.
“Kita berharap dengan adanya jaringan kerjasama yang baik dengan masyarakat selain penderma-penderma sukarela datang menderma termasuk penderma berulang dapat membantu mengatasi masalah bekalan darah. Malah, apa yang dilakukan KKAK hari ini adalah contoh terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Sumber: BERNAMA