UPMKB-UKAS Perkukuh Jalinan Strategik Demi Komunikasi Sarawak
Gambar Hiasan
Tiada Kategori

UPMKB-UKAS Perkukuh Jalinan Strategik Demi Komunikasi Sarawak

Siti Sakinah

UPMKB-UKAS Perkukuh Jalinan Strategik Demi Komunikasi Sarawak

KUCHING, 18 April – Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) terus memperkukuh langkah proaktifnya ke arah pemerkasaan komuniti dengan merintis usaha menjalin kerjasama strategik bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), dalam pelbagai inisiatif pembangunan masyarakat yang berimpak tinggi.

Inisiatif yang digerakkan oleh Ketua Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan UPMKB, Dr. Yasmin Yaccob, menyifatkan UKAS sebagai rakan strategik penting dalam usaha memperluas capaian universiti ke tengah-tengah masyarakat Sarawak.

“UKAS telah banyak membantu mempromosikan program-program kami sebelum ini, dan kini kami melihat potensi besar untuk menjalin kerjasama strategik yang lebih menyeluruh dalam memperkasa komuniti.

“Melalui pendekatan universiti untuk komuniti, kerjasama ini mampu memperkukuhkan lagi peranan UPMKB sebagai institusi ilmu yang dekat dengan rakyat,” ujar beliau.

“Kami juga melihat inisiatif ini sebagai satu platform penting untuk memberikan pengalaman pembelajaran sebenar kepada pelajar di lapangan, menjadikan masyarakat sebagai bilik darjah terbuka yang menyumbang kepada pembangunan holistik mereka,” tambah Dr. Yasmin.

Beliau berkata demikian ketika hadir bersama delegasi UPMKB dalam kunjungan hormat ke atas Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan di Bilik Mesyuarat Utama UKAS di Kuching, semalam.

Turut dibincangkan dalam pertemuan itu ialah potensi pelaksanaan kolaborasi jangka panjang, khususnya melalui penglibatan UKAS dalam program iRandau 2025 anjuran UPMKB yang dijadual berlangsung pada 2 hingga 4 Julai 2025 di Sungai Asap, Belaga.

“iRandau merupakan wadah pertemuan idea dan suara akar umbi. Dengan penglibatan UKAS, kita dapat memperkukuhkan dokumentasi dan perbincangan isu-isu sosial secara lebih tersusun dan menyeluruh,” jelas Dr. Yasmin lagi.

Sementara itu, Awang Putrayusrie mencadangkan agar kedua-dua pihak memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai landasan rasmi kerjasama yang lebih mantap dan terarah.

“Melalui MoU ini, kita dapat menjalin kerjasama lebih erat dalam pelbagai aspek termasuk promosi, latihan, penyelidikan dan pengembangan komuniti, seterusnya menyumbang ke arah pemerkasaan modal insan Sarawak,” katanya.

Beliau turut menyokong cadangan agar majlis pemeteraian MoU diadakan sempena program iRandau 2025, sebagai simbolik permulaan kepada sinergi yang lebih luas antara dunia akademik dan agensi komunikasi kerajaan.

Pertemuan ini turut dihadiri Timbalan Dekan Penyelidikan, Pendanaan dan Siswazah UPMKB Dr. Shairil Izwan Taasim, Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Siti Rajanah Abdul Aziz, Pensyarah Kanan Dr. Sawanah Mumin, Pegawai Eksekutif Ainul Fikri Mohamad Pauzi,

Manakala pegawai kanan UKAS turut sama dalam pertemuan bersejarah ini ialah Ketua Penolong Pengarah Seksyen Talikhidmat UKAS Joachim Paggang Jabong dan Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pengurusan Transformasi Dr. Charlie Dudang.

Kerjasama ini diharapkan menjadi pemangkin kepada gerakan komuniti berasaskan ilmu yang dipimpin oleh universiti, dan didukung oleh kekuatan komunikasi strategik kerajaan ke arah Sarawak yang lebih inklusif dan progresif.