PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) — Penganut yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah diluluskan di tanah perkuburan dan kolumbarium sempena upacara Cheng Beng atau Qing Ming boleh dikenakan kompaun, kata Kementerian Perpaduan Negara (KPN) hari ini.
“Pihak pengurusan tanah perkuburan dan kolumbarium sebaliknya tidak akan dikenakan kompaun di atas pelanggaran SOP yang dilakukan oleh penganut tersebut,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan susulan kebimbangan pihak pengurusan tanah perkuburan Cina dan kolumbarium mengenai kompaun jika gagal mematuhi SOP.
KPN turut menyeru agar pihak pengurusan tanah perkuburan Cina dan kolumbarium di seluruh negara beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan supaya masyarakat Cina dapat menjalankan upacara Cheng Beng atau Qing Ming pada tahun ini.
Kementerian itu juga mengingatkan pemakluman Majlis Keselamatan Negara untuk penganut memastikan pematuhan SOP di tanah perkuburan.
Maklumat SOP sambutan Cheng Beng atau Qing Ming tahun 2021 boleh dimuat turun di pautan https://asset.mkn.gov.my/web/wp-content/uploads/sites/3/2021/03/SOP-PKPPUPACARA-CHENG-BENG-Kemaskini-18-Mac-2021.pdf.
Sumber: BERNAMA