Gambar: Bernama

Untung Bersih Separuh Pertama MNRB Meningkat 7.9 Peratus Kepada RM93.2 Juta

Aqmal Ezany

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Keuntungan bersih MNRB Holdings Bhd bagi enam bulan pertama berakhir 30 Sept, 2020 meningkat 7.9 peratus kepada RM93.2 juta daripada RM86.4 juta yang direkodkan pada tempoh yang sama sebelum ini.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia hari ini, sumbangan takaful dan premium kasar menokok 6.5 peratus kepada RM1.14 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2021 daripada RM1.07 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2020.

Keuntungan bersih anak syarikat insurans semula pula, iaitu Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re), mencatatkan penurunan 5.8 peratus kepada RM46.9 juta daripada RM49.8 juta bagi tempoh yang sama, berikutan pendapatan pelaburan bersih berkurangan disebabkan iklim pelaburan mencabar akibat kesan pandemik COVID-19.

“Bagaimanapun, pendapatan pelaburan rendah itu diimbangi oleh prestasi penajajaminan lebih baik yang merekodkan RM11.6 juta berbanding defisit pada tempoh yang sama sebelum ini,” menurutnya.

Malaysian Re mencatatkan peningkatan premium kasar sebanyak 5.9 peratus kepada RM671.5 juta daripada RM634.2 juta yang dicatatkan tempoh yang sama, sebahagian besarnya disumbangkan oleh perniagaan luar negara.

Sementara itu anak syarikat takaful keluarga pula, Takaful Ikhlas Family Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah kepada RM13.6 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021 berbanding RM34.6 juta pada tempoh yang sama sebelum itu, manakala sumbangan kasar susut kepada RM264.0 juta daripada RM287.8 juta.

Cabang takaful am MNRB, Takaful Ikhlas General Bhd, mencatatkan sumbangan kasar lebih tinggi, melonjak 41.7 peratus kepada RM204.2 juta daripada RM144.1 juta bagi tempoh yang sama, didorong oleh semua segmen, iaitu agensi, bancatakaful dan korporat.

Takaful Ikhlas General juga merekodkan lonjakan keuntungan bersih kepada RM15.7 juta daripada RM8.7 juta bagi tempoh yang sama, dipacu oleh pendapatan fi wakalah yang lebih tinggi sejajar dengan sumbangan kasar lebih tinggi.

Mengulas mengenai prestasi kewangan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Zaharudin Daud berkata, syarikat juga menyaksikan pendapatan pelaburan bersih turut terjejas berikutan pasaran tidak menentu.

“Pandemik COVID-19 sememang menjejaskan pasaran kewangan global secara keseluruhan. Kesan daripada keadaan ini, yang merangkumi pasaran yang lemah dan persekitaran faedah rendah secara keseluruhan, telah memberi tekanan kepada portfolio pelaburan kami.

“Justeru, dari segi pelaburan, pendapatan pelaburan bersih MNRB berkurangan 16.5 peratus kepada RM265.0 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021 daripada RM317.2 juta pada tempoh yang sama sebelum ini,” katanya.

Melangkah maju, beliau berkata syairkat akan terus berusaha dengan cermat walaupun pandemik global berterusan dan persekitaran yang tidak menentu, selain kekal mengutamakan pertumbuhan dan kemampanan MNRB melalui perkhidmatan pelanggan yang sangat baik, pempelbagaian produk, penambahbaikan saluran pengedaran, dan mempercepat platform teknologi serta digital.

Sumber: BERNAMA