
UNI-MLC Beri Amaran Amalan ‘Sembunyi’ Maklumat Jawatan Kosong
Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memberi amaran bahawa amalan menyembunyikan maklumat jawatan kosong berpotensi memburukkan masalah pengangguran dalam kalangan belia.
Presiden UNI-MLC, Shafie BP Mammal berkata, situasi ini menyebabkan ramai graduan menghadapi kesukaran kerana tiada laluan jelas untuk mendapatkan pekerjaan.
Menurut beliau, masalah sebenar bukanlah kekurangan bakat, sebaliknya ketelusan dalam penyebaran maklumat peluang pekerjaan yang masih kurang.
Beliau mendakwa bahawa pada masa ini, iklan jawatan kosong kebanyakannya disebarkan melalui portal persendirian, kumpulan WhatsApp atau rangkaian tertutup. Hal ini dirasakan tidak adil kepada pencari kerja.
Statistik menunjukkan kadar pengangguran belia berusia 15 hingga 24 tahun kini sekitar 9.9 peratus atau lebih 290,000 orang. Manakala, golongan berusia 15 hingga 30 tahun mencatat kadar 6.2 peratus.
Shafie menekankan bahawa angka ini sebenarnya mencerminkan realiti yang sudah lama dihadapi oleh banyak keluarga.
“Anak-anak mereka memohon pekerjaan di merata tempat tetapi masih gagal mendapat kerja tetap. Mereka tidak pasti sama ada peluang sudah terlepas hanya kerana maklumat tidak tersusun,” kata beliau.
Justeru, bagi menangani masalah ini, kerajaan mencadangkan pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dengan menambah Seksyen 45F. Ia mewajibkan majikan mengiklankan semua jawatan kosong di portal MYFutureJobs.
Langkah itu, menurut Shafie, akan mewujudkan pusat rujukan nasional, membolehkan setiap graduan merujuk iklan pekerjaan di platform khas.
Jelas beliau, majikan masih boleh menggunakan platform lain seperti JobStreet atau LinkedIn. Tetapi, MYFutureJobs akan menjadi asas minimum supaya semua rakyat tahu di situlah peluang pekerjaan mesti dipaparkan.
Tambah beliau, ketelusan ini penting untuk melindungi hak dan masa depan pekerja muda, selain selari dengan piawaian antarabangsa.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengiktiraf ketelusan maklumat jawatan kosong sebagai sebahagian daripada perlindungan asas pekerja.
“Sistem buruh moden mesti aktif, adil dan terbuka,” kata beliau sambil menyatakan sokongan penuh UNI-MLC terhadap prinsip itu.
Dalam pada itu, Shafie juga menyatakan kesediaan pertubuhannya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan majikan bagi memastikan pelaksanaan pindaan ini berjalan lancar dan praktikal.
Beliau menegaskan bahawa pindaan itu bukan untuk membebankan majikan. Sebaliknya, ia memastikan rakyat Malaysia tidak terpinggir daripada peluang pekerjaan semata-mata kerana maklumat disembunyikan.
Meski terdapat gesaan supaya pelaksanaannya ditangguhkan, Shafie menggesa kerajaan kekal tegas dan meneruskan usaha ini.
“Kami menggesa kerajaan supaya kekal tegas dan meneruskan usaha ini. Manfaat jangka panjang kepada pekerja amat jelas dan tidak perlu moratorium. Sistem buruh moden bermaksud peluang kerja perlu telus dan adil, bukan tersembunyi dan terpilih,” katanya.
BACA: MARA Jalin Kerjasama Strategik Dengan Batik Air, Bantu Pelajar Miskin Jadi Jurutera Kapal Terbang