“Saya tak lihat Hindu atau Muslim. Saya lihat orang ramai. Saya lihat anak-anak kecil,” kata Mohinder Singh yang telah menyelamatkan puluhan jiran Muslimnya dari perusuh di Gokalpuri, New Delhi.
“Saya rasakan mereka seperti anak-anak saya dan tiada apa-apa patut berlaku kepada mereka.
“Kita lakukan semua ini kerana kita perlu membantu mereka yang memerlukan,” tambahnya.
24 Februari lalu merupakan keganasan terburuk berlaku di Delhi sejak 1984.
Dalam kejadian itu, Mohinder dan anak lelakinya, Inderjit Singh telah menggunakan motosikal dan skuter mereka untuk melarikan kira-kira 60 hingga 80 orang Muslim ke kawasan selamat.
Menurut Mohinder Singh, 53, mereka berdua telah berulang alik sebanyak 20 kali ke dua buah kampung bersebelahan yang terletak satu kilometer dari lokasi rusuhan.
Menjadi saksi keganasan yang membunuh hampir 40 orang Muslim di sana, kedua-dua mereka menyelamatkan jiran-jiran Muslim dengan hanya menaiki motosikal.
Bagi melindungi identiti kanak-kanak lelaki Muslim yang terancam, Mohinder dan anaknya memakaikan turban Sikh kepada sebahagian dari mereka.
Dalam tragedi itu, ketegangan bermula sekitar jam 5 petang dengan orang ramai mengangkat slogan menyokong Perdana Menteri, Narendra Modi serta mendakwa pembelot harus ditembak, kata Singh.
Bilangan perusuh bertambah menyebabkan situasi menjadi panik dan penduduk Muslim berkumpul di masjid berdekatan. Masjid tersebut kemudiannya dibakar pada malam hari.
Setelah berhimpun, kelompok Muslim mengambil keputusan untuk meninggalkan lokasi itu, namun khuatir dengan kumpulan perusuh yang memenuhi jalan utama.
Ketika itulah keluarga Singh menawarkan bantuan untuk memindahkan sebahagian mereka ke lokasi yang lebih selamat.
Sumber: Huffington Post