BACHOK, 29 Sept (Bernama) — Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menangguhkan kemasukan pelajar baharu dan lama secara bersemuka dari negeri Sabah dan kawasan zon merah COVID-19.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK Prof Dr Mohd Rafi Yaakob berkata, penangguhan itu turut melibatkan individu yang ada sejarah perjalanan dari Sabah dalam tempoh perjalanan 14 hari sebelum hari pendaftaran.
Katanya tindakan itu diambil selaras dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi kepada semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menangguhkan urusan pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama dari kawasan zon merah secara bersemuka yang dijadualkan bermula Oktober ini.
“Proses pendaftaran pelajar baharu dan lama dari negeri Sabah dan zon merah hendaklah dilakukan secara dalam talian dan kembali pulang ke UMK mengikut prosedur sedia ada setelah keadaan kembali pulih bagi negeri Sabah dan zon merah yang dikemas kini di portal rasmi Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kemasukan pelajar baharu dan lama yang bukan dari negeri Sabah dan zon merah kekal sepertimana yang dijadualkan dan perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pelaksanaan Operasi Kemasukan Pelajar seperti yang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semua Ketua Pusat Tanggungjawab dan mahasiswa UMK turut dinasihatkan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan.
— BERNAMA