
Seorang wanita berdepan detik cemas apabila tiba-tiba mendapati seekor ular tedung selar yang sangat besar sedang bergayut di pagar rumah jirannya.
Menerusi video yang dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok bernama Nysa, wanita tersebut yang merupakan ibu saudaranya menjerit sekuat hati kerana cemas dan risau sekiranya ular berbisa tersebut berjaya menceroboh masuk ke rumah jirannya.
Nysa berkata kejadian ini berlaku di sebuah perkampungan di Langkawi, Kedah.
Mujurlah, kehadiran ular berkenaan disedari oleh jirannya yang kemudian bertindak membaling beberapa objek ke arah haiwan berkenaan. Ular berbisa itu berjaya dihalang daripada memasuki rumah, namun kemudian menyelinap dan berlindung di dalam enjin kereta hitam seperti yang dikongsikan di dalam video.
Difahamkan, ular tedung tersebut sudah berjaya ditangkap oleh sekumpulan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Di ruang komen, rata-rata netizen turut berkongsi perasaan seram apabila melihat saiz haiwan berbisa tersebut. Mereka juga menzahirkan rasa syukur kerana kehadiran ular tersebut disedari oleh ibu saudara Nysa kerana jika tidak, berkemungkinan perkara yang tidak diingini boleh berlaku.
Sebelum ini, kami pernah berkongsikan artikel milik Mije Snakemaster berkenaan jenis-jenis ular yang berkemungkinan memasuki rumah kediaman manusia.
Ular-ular tersebut adalah Ular Senduk (monocled cobra) dan Ular Senduk Sembur (spitting cobra), Ular Tedung Selar (king cobra), Ular Sawa (python), keluarga ular tikus (rat snake) dan keluarga ular selinsing (racer snake).
Selain itu, keluarga ular lidi/daun/pucuk (Bronzebacks/Whip snakes), keluarga ular pokok (flying) dan keluarga Ular Sampah (wolf snake) dan Ular Siput (slug snake) juga antara jenis-jenis ular yang perlu anda kenali dan perhatikan jika tinggal berdekatan kawasan yang berkemungkinan didiami ular seperti berdekat hutan, paya dan sebagainya.
Sumber: Nysa