
Ular Sawa Batik Terpanjang Di Dunia Ditemui Di Sulawesi
JAKARTA -- Ular sawa batik yang terpanjang di dunia ditemui di sebuah kawasan hutan di Sulawesi, Indonesia, lapor Money Control.
Dikenali sebagai Baron, ular sawa betina itu memiliki panjang seperti sebuah bas, mencecah 7.22 meter (lebih 23 kaki). Manakala berat reptilia berkenaan hampir 96 kilogram (kg).
Perkara itu sekali gus menjadikan Baron sebagai ular sawa batik terpanjang dunia, menurut Guinness World Records.
Reptilia berkenaan ditemukan di hutan Maros, Sulawesi, sebuah hutan yang kaya dengan biodiversiti pada Disember 2025.
Ular berkenaan kemudian diukur untuk proses dokumentasi pada 18 Januari lalu.
Untuk makluman, ular sawa batik merupakan antara ular terbesar di dunia dengan saiz dan kekuatannya (lilitan) mungkin antara yang paling mengerikan.
Ular ini tidak mempunyai bisa dan racun untuk membunuh mangsa, tidak seperti kebanyakan ular lain.