Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba meminta diadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), lapor Al-Jazeera.
Hal ini berhubung rayuan terbaru puak pemisah yang menyebelahi Rusia untuk mendapatkan bantuan ketenteraan dari kerajaan pimpinan Vladimir Putin itu.
Perkara tersebut turut dimaklumkan Kuleba melalui laman Twitter miliknya hari ini.
“Ukraine telah meminta diadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB berikutan permohonan pentadbiran kependudukan Rusia di Donetsk dan Luhansk kepada Rusia yang meminta untuk menyediakan bantuan ketenteraan kepada mereka, di mana ia boleh mengancam keselamatan,” tulis Kuleba.
Menurut laporan DW, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, minggu ini Presiden Vladimir Putin menerima surat yang dihantar ketua puak pemisah di Donetsk dan Luhansk yang menyokong Rusia.
“Tindakan rejim Kyiv membuktikan keengganan untuk menamatkan perang di Donbas,” ujar Peskov, memetik isi surat tersebut.
Sumber: Al-Jazeera