LONDON, 9 Sept – Percubaan ujian vaksin COVID-19 Fasa Tiga yang dibangunkan syarikat farmaseutikal, AstraZenecca ditangguhkan, disyaki berikutan berlaku reaksi yang tidak dapat dijelaskan ke atas peserta ujian dipercayai di United Kingdom (UK), menurut laporan Stat News.
Jurucakap syarikat berkenaan, Michele Meixell berkata, pihaknya secara sukarela menangguhkan dulu ujian vaksi tersebut bagi membolehkan kajian semula data keselamatan dijalankan pihak jawatankuasa bebas.
“Penangguhan tersebut adalah tindakan biasa yang harus dilakukan apabila berlaku masalah berpotensi yang tidak dapat dijelaskan dalam salah satu ujian.
“Syarikat berusaha mempercepatkan tinjauan kajian mengenai kes tersebut untuk minimumkan sebarang impak buruk sepanjang sesi percubaan tersebut,” kata jurucakap itu lagi, memetik laporan Stat News.
Walaupun peserta dijangka pulih, media melaporkan kes berkenaan boleh menjejaskan masa depan pembangunan vaksin daripada syarikat berkenaan.
Dalam pada itu, sumber yang mengetahui tentang penghasilan vaksin tersebut mendakwa, para penyelidik telah diarahkan untuk menangguhkan ujian vaksin itu sebagai langkah berhati-hati.
Manakala seorang lagi sumber tidak mahu dikenali berkata, penemuan (masalah) ini memberi kesan kepada percubaan vaksin AstraZenecca yang lain, juga kepada ujian klinikal yang dijalankan pengeluar vaksin lain.
Mengimbas kembali, vaksin COVID-19 itu dibangunkan sebelum ini dengan kerjasama penyelidik dari Universiti Oxford di beberapa makmal berbeza, termasuklah di UK.
Terdapat sembilan vaksin yang menjalani ujian di Fasa Tiga setakat ini dan daripada itu, vaksin AstraZenecca adalah percubaan pertama yang terpaksa ditangguhkan atas sebab kes tersebut.
“Dalam percubaan (berskala) besar, penyakit akan berlaku secara kebetulan tetapi mesti dikaji secara bebas untuk memeriksanya dengan teliti.
“Kami (AstraZenecca) sangat komited terhadap keselamatan peserta (vaksin) kami, serta mengamalkan standard yang tinggi dalam ujian kami,” kata Michelle lagi.
Sumber: Stat News, Channel News Asia, The New York Times, CNN, Wall Street Journal