Seperti yang kita tahu, penyebaran varian baharu COVID-19 yang dipanggil Omicron sempat menggemparkan dunia baru-baru ini. Pelbagai kajian makmal dilakukan para pengkaji seluruh dunia untuk merungkai varian baharu ini termasuk syarikat pengeluar vaksin Pfizer Inc. dan BioNTech SE.
Menurut Bloomberg, ujian makmal yang telah dilakukan hasil usahasama kedua syarikat bioteknologi ini menunjukkan bahawa pengambilan dos ketiga vaksin COVID-19 terbukti mampu meneutralkan varian Omicron.
Suntikan dos ketiga atau booster menurut kedua syarikat tersebut berupaya meningkatkan ketahanan antibodi sebanyak 25 kali ganda, sepertimana kadar kebolehtahanan antibodi individu lengkap dua dos menentang jangkitan virus COVID-19 umum dan varian-varian lain.
Jelas Pfizer-BioNTech, plasma darah individu yang telah mengambil dua dos vaksin adalah 25 kali lebih imun untuk meneutralkan varian Omicron, berbanding strain asli COVID-19. Hasil kajian terkini kedua syarikat berkenaan menunjukkan pengambilan dos ketiga setidaknya mampu menghalang varian baharu ini dari ‘membolosi’ tembok imuniti badan.
“Berdasarkan data yang diperolehi, ia jelas menunjukkan tahap pencegahan semakin membaik dengan suntikan dos ketiga,” kata Ketua Eksekutif Pfizer, Albert Bourla memetik laporan Bloomberg.
Tambah Pfizer-BioNTech, kelompok imuniti atau sel-T yang terbentuk dalam badan individu lengkap vaksin tidak terkesan dengan mutasi varian COVID-19 dan mereka yang telah mengambil dua dos vaksin akan turut dilindungi. Pun begitu, kedua syarikat ini masih menjalankan kajian lebih lanjut mengenai varian Omicron dan dijangka mengeluarkan vaksin khas untuk varian tersebut Mac tahun hadapan.
Sumber: Bloomberg