Gambar Via Financial Times

UAE Umum Tukar Hari Bekerja Kepada Empat Hari Setengah Seminggu, Hari Jumaat Kerja Separuh Hari

Sofea

Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini memaklumkan bahawa negara itu akan menukar hari bekerja mereka bermula 1 Januari 2022.

Memetik kenyataan kerajaan itu di Twitter, minggu bekerja akan diubah menjadi empat hari iaitu dari Isnin hingga Khamis dan setengah hari pada Jumaat.

Sabtu dan Ahad akan menjadi hari hujung minggu yang baharu bagi kakitangan kerajaan.

Difahamkan, mereka akan bekerja selama lapan jam pada hari Isnin hingga Khamis iaitu dari pukul 7.30 pagi hingga 3.30 petang. Manakala pada hari Jumaat pula mereka hanya bekerja dari pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Tambah kenyataan itu lagi, solat dan khutbah Jumaat akan diadakan selepas pukul 1.15 petang sepanjang tahun.

Susulan daripada perubahan waktu bekerja tersebut, terdapat kemungkinan bahawa waktu bekerja pada hari Jumaat akan menjadi lebih fleksibel dan boleh memilih untuk bekerja dari rumah.

“Hujung minggu yang panjang akan meningkatkan produktiviti dan meningkatkan keseimbangan antara kehidupan dan kerja,” kata kerajaan itu menerusi Twitter.

Bagaimanapun, arahan atau panduan khusus berkaitan sektor swasta tidak dinyatakan.

Sumber: UAEmediaoffice