
Twitter Pecat 80% Staf – Elon Musk
Elon Musk dilapor telah memberhentikan lebih 6,000 pekerja di Twitter sejak mengambil alih syarikat platform media sosial terbesar itu, lapor CNN.
Musk yang juga pengarah Twitter berkata platform media sosial itu kini hanya mempunyai 1,500 pekerja, menurun daripada jumlah 8,000 yang bekerja semasa pengambilalihannya.
Pengurangan itu bersamaan dengan kira-kira 80 peratus kakitangan syarikat yang telah dibuang.
“Ia tidak menyeronokkan langsung dan kadang-kadang boleh menyakitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama BBC pada lewat Selasa.
Jutawan kedua terkaya dunia itu berkata bahawa tindakan drastik perlu untuk dilakukan apabila dia menyertai syarikat itu.
Ini kerana syarikat itu menghadapi situasi kewangan yang teruk di mana aliran tunai (cash flow) operasinya adalah negatif RM13 bilion.
Musk menganggarkan keadaan itu membuatkan Twitter hanya mempunyai empat bulan untuk bertahan sebagai platform media sosial.
“Ini bukan situasi yang patut diambil berat atau tidak. Ia diibaratkan sekiranya seluruh kapal tenggelam, maka tiada siapa yang mendapat pekerjaan,” ujar Musk.
Untuk rekod, Musk telah membeli Twitter dengan harga RM193 bilion pada Oktober lalu.
Selepas menawarkan untuk mengambil alih syarikat itu pada April 2022, beliau cuba untuk tidak meneruskan perjanjian tersebut dengan mengatakan kebimbangannya.
Sejak itu, beliau secara radikalnya telah melakukan rombakan dengan memecat eksekutif tertinggi, mengurangkan pekerjaan dan menggubal dasar baharu tentang akaun pengguna yang disahkan atau dilabel.
Musk juga berjanji untuk menyemak semula label yang digunakan untuk stesen penyiaran British, daripada dibiayai kerajaan kepada pembiayaan awam.
“Kami dibiayai oleh orang awam British melalui yuran lesen,” kata stesen itu.
Musk juga mengambil berat mengenai penelitian United States terhadap TikTok.
Ujarnya, walaupun dia bukan pengguna aplikasi tersebut, namun dia biasanya menentang pengharaman berlaku.
“Maksud saya, ia akan membantu Twitter, jika TikTok diharamkan.
“Orang ramai banyak menghabiskan lebih banyak masa di Twitter dan akan kurang di TikTok.
“Tetapi walaupun itu akan membantu Twitter, secara amnya saya menentang pengharaman mengenai sesuatu,” katanya.
Sumber: CNN