Gambar: Google/Bernama

Tweet Viral, Menteri Pendidikan Terima Penghargaan Kru Filem Popular Tamil, Raatchasi

Amira

Produksi filem India, Raatchasi meluahkan penghargaan mereka kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik atas pujiannya terhadap filem berkenaan.

Mereka menghargai kesudian beliau menonton filem tersebut dan menjadikannya aspirasi memperbaiki sistem pendidikan negara.

“Kami sangat teruja mengetahui tuan sudi meluangkan masa untuk menonton dan tweet tentang filem India, semata-mata kerana tuan ingin melihat perubahan dalam sistem pendidikan agar menjadi lebih baik,” kata Jyotika, pelakon utama yang mewakili produksi berkenaan.

Pada 1 September lalu, Maszlee menyarankan orang ramai untuk menonton filem tersebut. Katanya, filem tersebut berjaya menggambarkan perubahan yang diimpikannya dalam sistem pendidikan tempatan.

“Banyak sekali dasar dan perubahan yang kita sedang gubal untuk dilaksanakan telah berjaya digambarkan dalam filem ini.

“Misalnya inisiatif PSP (Program Sarapan Percuma). Filem ini menterjemahkan aspirasi saya yang lebih dari sekadar makanan, tetapi saya ingin melihat guru-guru boleh duduk makan sekali dengan anak-anak kita,” katanya.

Beliau turut memuji watak guru besar sekolah berkenaan yang berjaya melibatkan semua pihak termasuk ibubapa dan pihak polis untuk mengatasi isu keciciran murid.

“Kita nak pastikan ‘enforcement’ itu berlaku di semua penjuru agar tak ada lagi kanak-kanak yang tercicir,” kata Maslee melalui laman sosial miliknya.

Sumber: Maszlee Malik, Suriya Sivakumar