Turun Lawan Liverpool, Man United Mungkin Sisihkan Maguire Daripada Kesebelasan Utama
Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag dilapor sedia mempertimbangkan untuk menggugurkan kapten pasukan, Harry Maguire, 29, daripada kesebelasan utama dalam perlawanan menentang Liverpool Isnin INI.
Maguire sebelum ini turun sebagai pilihan utama di jentera pertahanan tengah dan melengkapkan 90 minit masa perlawanan ketika menentang Brighton dan Brentford, dimana United tewas kedua-duanya.
Ketika ini, tersebar laporan bahawa Ten Hag sedang mempertimbangkan prospek untuk menggandingkan pertahanan tengah baharu, Lisandro Martinez yang bernilai RM 249 juta dengan pemain pertahanan berpengalaman, Raphael Varane dalam aksi penting ini.
Sumber dari bilik persalinan berkata beberapa pemain United merasakan pendekatan Ten Hag ketika ini tidak sesuai dengan set kemahiran mereka dan bersedia dengan perubahan yang lebih segar untuk turun menentang Liverpool.
Musim lepas, United dimalukan dua kali oleh musuh tradisi itu dengan kekalahan 0-5 di tempat sendiri sebelum diaibkan sekali lagi di 4-0 di tempat lawan.
Maguire kemudian digugurkan daripada kesebelasan utama oleh pengurus sementara Ralf Rangnick selepas kekalahan 3-1 menentang Arsenal. Tetapi pemain antarabangsa England itu diberikan semula jawatan kapten di bawah kendalian Ten Hag walaupun ada desakan supaya dia dilucutkan secara kekal daripada posisi itu.
Ten Hag sebelum ini ketika jelajah pramusim menyatakan bahawa Maguire dan Martinez akan digandingkan sebagai pilihan utama di bahagian tengah.
“Kami mendapatkannya (Martinez) bukan sahaja untuk menguatkan skuad, tetapi pasukan.
“Saya fikir, ya. Dia telah membuktikannya pada masa lalu tetapi dia juga perlu membuktikannya pada masa sekarang dan masa akan datang. Dia telah bermain enam puluh kali untuk England dan itu sangat mengagumkan, saya juga mengharapkan banyak daripadanya,” kata Ten Hag apabila disoal mengenai Maguire sebagai pilihan utama.
BACA: Ibarat Dunia ‘Berbeza’, Kenali Dua Pulau Terpisah Hanya 3km, Tapi Beza Masa 21 Jam
Sumber: Manchester Evening News