PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) — Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan oleh cucu sulung Tengku Ali Ibni Al-Marhum Sultan Sulaiman berhubung samannya bagi memohon perisytiharan bahawa beliau adalah pewaris yang sah takhta Terengganu.
Tengku Sulaiman Tengku Abdul Halim, 63, memohon Mahkamah Persekutuan supaya mendengar semula permohonan kebenaran untuk merayu yang ditolak pada November 2017. Kebenaran untuk merayu itu difailkan bagi membolehkan samannya didengar semula setelah dibatalkan Mahkamah Tinggi pada 21 Dis 2016.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed hari ini memerintahkan Tengku Sulaiman membayar kos RM50,000 kepada setiap lima anggota Dewan Pangkuan Diraja Terengganu dan kerajaan negeri Terengganu.
Dalam keputusannya, Azahar berkata adalah jelas keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan semasa menolak permohonan Tengku Sulaiman untuk merayu pada 2017, merupakan keputusan sebulat suara.
“Permohonan kajian semula pemohon mengenai isu perlembagaan adalah suatu perkara yang difikirkan kemudian,” katanya, sambil menambah bahawa Tengku Sulaiman sepatutnya membangkitkan isu itu pada masa yang sesuai apabila perkara itu berada dalam domain awam.
Dua hakim lain ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Abdul Rahman Sebli.
Terdahulu, peguam Kong Yit Har yang mewakili Tengku Sulaiman memohon mahkamah menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini atas alasan keputusan itu dibuat oleh seorang hakim tanpa merujuk kepada dua hakim lain.
Beliau juga membangkitkan isu perlembagaan berhubung pelantikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Raus Shariff, yang mempengerusikan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
Dalam pernyataan tuntutannya, Tengku Sulaiman berkata pada 26 Sept 1942, Tengku Ali ditabalkan sebagai Sultan Terengganu berikutan kemangkatan ayahandanya, Al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III.
Bagaimanapun, Tengku Ali diturunkan takhta pada 5 Nov 1945 oleh Jemaah Pangkuan Negeri Terengganu (kini dikenali sebagai Dewan Pangkuan Diraja Terengganu) dan melantik ayahanda saudara Tengku Ali iaitu Tengku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III sebagai Sultan Terengganu.
Menurut pernyataan tuntutan itu, anakanda sulung Tengku Ali, Tengku Abdul Halim, yang ketika itu berusia 11 tahun, sepatutnya menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Terengganu.
Tengku Sulaiman mendakwa sebagai cucu sulung Tengku Ali, beliau mempunyai hak ke atas takhta Terengganu dan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya yang ditolak Mahkamah Rayuan pada Julai 2017.
Peguam Tan Sri Cecil Abraham mewakili ahli Dewan Pangkuan Diraja manakala Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu Datuk Razali Che Ani mewakili kerajaan negeri.
Sumber: BERNAMA