
Tunku Ismail Bimbang Masalah Trafik Bila RTS Link Beroperasi
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menyatakan kebimbangan mengenai kesesakan lalu lintas yang bakal timbul apabila Projek Rapid Transit System (RTS) Link antara Johor Bahru dan Singapura mula beroperasi.
Menerusi kenyataan di Facebook, Tunku berkata sehingga kini tiada penyelesaian menyeluruh disediakan bagi menampung peningkatan jumlah trafik termasuk pelaksanaan sistem ART bertingkat (elevated ART) atau alternatif pengangkutan lain di kawasan sekitar Bukit Chagar.
“Kerajaan Persekutuan memaklumkan bahawa tiada peruntukan mencukupi untuk menampung kos penyelenggaraan sekiranya penyelesaian bertingkat sepenuhnya dilaksanakan.
“Namun begitu, Pulau Pinang mampu memperoleh projek LRT yang jauh lebih mahal berbanding sistem ART,” katanya.
Sementara itu, Tunku juga memantau secara rapat mengenai perkembangan beberapa projek kesihatan utama di negeri Johor termasuk Hospital Pasir Gudang yang telah lewat siap, isu-isu di Hospital Sultanah Aminah (HSA) serta kelewatan projek Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2).
“Saya berharap agar masalah-masalah ini dapat diselesaikan dengan segera dan Johor tidak lagi seolah-olah diketepikan,” katanya.
Sumber: HRH Crown Prince of Johor