Selamatkan Budak Terperangkap
Kredit Alerta Zeta/Twitter

Tular Video Lelaki Pertaruh Nyawa Panjat Bangunan Selamatkan Budak Terperangkap Dalam Kebakaran

Syed Faisal Sayed Muhammad

Tular Video Lelaki Pertaruh Nyawa Panjat Bangunan Selamatkan Budak Terperangkap Dalam Kebakaran

Seorang lelaki di bandar Seville, Sepanyol diangkat sebagai wira selepas memberanikan diri pertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan dua kanak-kanak yang terperangkap dalam bangunan terbakar, lapor GulfNews.

Menurut laporan berita tempatan, kebakaran berlaku pada Ahad, 29 Januari yang lalu di tingkat dua sebuah bangunan kediaman yang terletak di kawasan kejiranan La Macarena, di Moguer Street, Seville.

Sebuah keluarga seramai empat orang dengan dua anak masing-masing berusia tiga dan tujuh tahun telah terperangkap di dalam rumah berkenaan, lapor laman berita Sepanyol, elmundo.es.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

Klip pendek yang dirakam oleh saksi kejadian dan disiarkan di Twitter memaparkan kepulan asap tebal keluar melalui tingkap salah satu bilik rumah keluarga berkenaan.

Ketika orang ramai mula berkumpul di sekeliling bangunan, salah seorang lelaki yang juga jiran keluarga tersebut yang dikenali sebagai Jairo dengan pantas memanjat bangunan berkenaan.

Mempertaruhkan nyawanya sendiri, dia dengan berhati-hati mengimbangi dirinya dan menghulurkan tangannya ke arah tingkap rumah keluarga berkenaan.

Usaha itu dilakukannya untuk mencapai dua orang kanak-kanak yang berada di sebalik tingkap tersebut.

Lelaki terbabit berjaya mencapai dua kanak-kanak itu dengan bantuan bersama bapa mereka. Hero berkenaan kemudiannya memindahkan mereka ke tempat selamat satu demi satu.

Ketika api mula marak, pasukan bomba akhirnya tiba di tempat kejadian dan menyelamatkan seorang lagi mangsa iaitu ibu mereka.

Wanita itu dilihat turun dari bangunan berkenaan menggunakan tangga yang dibawa oleh jiran ke tingkap bangunan tersebut.

Bapa dua kanak-kanak itu kemudiannya melompat ke atas tilam yang dibaringkan oleh anggota bomba dan jiran di atas tanah di bawah bangunan terbakar tersebut. Dia kemudiannya dirawat kerana telah terhidu asap kebakaran, kata laporan itu.

Menurut laporan beberapa media tempatan, agensi bantuan berkata bahawa kebakaran itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang cedera. Namun tiada kematian dilaporkan berlaku.

Video itu turut dikongsi oleh laman Instagram @goodnews_movement, sambil menulis bahawa Jairo adalah “Hero of Sevilla”.

Orang ramai turut meninggalkan komen mereka selepas menonton perkongsian muat naik video terbabit.

“Lelaki itu telah melakukan aksi lagenda sepanjang masa. Meletakkan dirinya dalam bahaya untuk selamatkan orang lain,” tulis seorang netizen selepas menonton video tersebut.

“Terim kasih kerana telah membantu! Kita memerlukan lebih ramai manusia seperti anda. Seorang wira dengan keberanian,” tulis seorang lagi netizen.

Sumber: GulfNews