
Tular Video Guru Kasari Murid, KPM Jalankan Siasatan
PUTRAJAYA — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan seorang guru yang mengasari seorang murid sewaktu penganjuran majlis rasmi di sekolah.
Menurut kementerian itu, siasatan dijalankan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan segera.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian rakaman video tular di media sosial yang memaparkan seorang guru bertindak kasar terhadap murid sewaktu penganjuran majlis rasmi di sekolah,” kata kementerian itu.
Pihaknya turut menasihatkan kepada para pendidik agar sentiasa mematuhi etika sebagai seorang guru.
“Golongan pendidik dinasihatkan untuk sentiasa memelihara etika dan menjunjung tinggi martabat serta profesionalisme profesion keguruan.
“KPM komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara,” maklum KPM.
Sebelum ini, tular satu rakaman yang dimuat naik di platform media sosial yang memaparkan seorang guru mengasari murid tersebut dalam satu majlis di sebuah sekolah.
Tindakan guru terbabit telah mengundang pelbagai kritikan dan kecaman daripada pengguna media sosial. Tidak kurang juga yang meminta agar guru itu dikenakan tindakan yang sewajarnya.