
Tular Staf Skybridge Didakwa Utamakan ‘Mat Salih’, Pengurusan Menara Petronas Mohon Maaf
Pihak pengurusan operasi lawatan Menara Berkembar Petronas telah memohon maaf berhubung isu yang tular di media sosial baru-baru ini, lapor Sinar Harian.
Permohonan maaf itu dibuat berhubung dakwaan layanan tidak adil yang diberikan oleh kakitangan syarikat itu kepada seorang lelaki ketika menunggu giliran untuk ke Skybridge.
Menurut kenyataan syarikat itu, mereka memandang serius berkenaan perkara tersebut dan akan menjalankan siasatan dengan segera.
“Kami memandang berat perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dengan kadar segera, kami akan memastikan ia tidak berulang lagi.
“Segala kesulitan amat kami kesali,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Sabtu.
Semalam, seorang pengguna Facebook dalam hantarannya di Facebook mendakwa telah dilayan dengan berat sebelah.
Ketika kejadian, pekerja Skybridge itu didakwa telah mengutamakan warga asing ketika menunggu giliran ke kawasan tarikan umum menara tersebut.
Beliau yang juga penganalisis politik berkata, ia bermula apabila seorang pegawai muncul dan bertanyakan kepada pasangan ‘mat salih’ itu mengenai jadual tiket mereka.
Pegawai itu kemudiannya telah membenarkan pasangan itu untuk menaiki Skybridge terlebih dahulu sebelum gilirannya.
“Dia (pegawai) kenyit mata dan beri isyarat suruh mereka (pasangan mat salih) ke depan supaya boleh naik awal. Mula lah tertanya-tanya apa hal pula mereka boleh naik dulu, saya yang dah tunggu lebih awal tidak pula dilayan begitu.
“Bila ditanya, jawapannya mereka ada kuasa untuk dahulukan sesiapa yang difikirkan perlu, ‘mat salih’ itu baru sampai. Badan bertatu segar bugar dan pasangan perempuannya tak nampak cacat pun,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sewaktu kejadian itu, pengguna Facebook tersebut juga turut memaklumkan bahawa pegawai terbabit cuba memberikan alasan dan akan memanggil gilirannya.
Namun perkara itu dianggap sudah keterlaluan dan beliau memberi amaran mahu melaporkan insiden berkenaan di platform digital.
BACA: Piala Malaysia: Ribuan Penyokong Terengganu Gamatkan Stadium Dan Kibarkan Bendera Palestin
“Kalau saya nampak ‘mat salih’ ini naik dulu dari saya, anda akan nampak hantaran saya di Facebook, Itu amaran saya.
“Pegawai yang seorang lagi apabila ditanya semasa dia tampalkan pelekat ke baju saya, dia boleh jawab terserah lah kalau nak lapor kepada pihak pengurusan, tetapi jangan di Facebook, profesional lah sikit.
“Bila nampak ‘mat salih’ bukan main lagi, yang patuh ikut giliran ini boleh letak tepi,” jelasnya lagi.
Sumber: Sinar Harian