Seorang pemuda dari Jawa tengah, Indonesia menjadi tular di media sosial apabila menawarkan pakej perkhidmatan lengkap untuk teman sambut tahun baru.
Pemuda yang bernama Khoirul Anam itu menyatakan bahawa selepas foto sepanduk itu menjadi tular, dia telah mendapat ribuan mesej di aplikasi Whatsapp.
Pemuda tersebut mengesahkan bahawa dia telah membuat sepanduk yang tertulis tawaran pakej teman sambut tahun baru itu pada 20 Disember 2020.
“Anda bakal mendapat satu pakej yang lengkap: makan malam, berpegangan tangan, swafoto bersama, melayan bunga api bersama, hantar pulang ke rumah,” tulis kapsyen di sepanduk itu.
Dia difahamkan telah membuat dua sepanduk yang dipasangkan di tiang elektrik serta pokok di kawasan yang berhampiran dengan tempat tinggalnya.
Lelaki yang berusia 28 tahun itu mengakui bahawa dia membuat sepanduk yang mengandungi tawaran perkhidmatan itu hanyalah untuk hiburan semata-mata.
“Motif saya bukanlah untuk menjadi tular. Ia sebenarnya dibuat bagi menghiburkan orang ramai.”
“Ya, siapa tahu setelah menjadi tular dapat dipertemukan dengan jodoh,” kata Anam.
Menurut Anam, idea tersebut muncul ketika dia mendengar rintihan daripada rakannya yang menyatakan bahawa rakannya itu tidak mempunyai pasangan untuk menyambut tahun baru.
“Single pada malam sambutan tahun baru seakan tidak kena. Itulah sebabnya saya terfikir untuk membuat sepanduk ini. Secara kebetulan, saya juga masih single, manalah tahu ada yang mahukan saya nanti,” tambahnya.
Menurut Tribun, selepas foto sepanduknya itu menjadi tular di media sosial, beribu mesej telah masuk ke aplikasi Whatsapp-nya.
Sehingga 27/12/2020, perkongsian tersebut telah mendapat lebih 13 ribu Likes dari pengguna media sosial.
Sumber: Tribun